PENDAKIAN TINGKATKAN KECERGASAN STAF BARISAN HADAPAN USM
USM, PULAU PINANG, 3 September 2020 - Dalam memastikan warga kampus untuk terus berada dalam tahap kecergasan dan kecerdasan yang tinggi, Jabatan Keselamatan (JK) Universiti Sains Malaysia (USM) telah merintis mengadakan aktiviti pendakian di Bukit Jambul Pulau Pinang melintasi Bukit Rimbah ke Bukit Kukus.
Demikian program Kesedaran BMI dan Kecergasan Staf Jabatan Keselamatan USM yang telah mendapat perhatian dan juga penyertaan daripada Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim.
Mendaki bersama-sama 26 staf JK hingga ke ketinggian 400 meter dari aras laut kelmarin, Roslan menyifatkan aktiviti ini sebagai suatu yang unik dan mampu diketengahkan dan dibudayakan dalam kalangan warga USM serta setempat untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta mengekalkan kesihatan diri dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Tambah Roslan, JK sebagai salah satu unit barisan hadapan universiti, perlulah sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dari segi kekuatan fizikal dan mental serta sentiasa peka dengan sebarang aspek keselamatan universiti.
“Justeru itu, saya juga hendak lihat tahap kesihatan setiap staf dijaga bukan semata-mata melalui senaman sebegini tapi melalui aspek penjagaan pemakanan yang betul dan saya ingin melihat hasilnya selepas 3 bulan akan datang,” katanya yang ingin setiap staf JK mempunyai BMI yang ideal.
Program ini merupakan salah satu inisiatif dan cabaran USM kepada staf barisan hadapannya untuk berada dalam keadaan yang mantap dan juga padu dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang kian mencabar tambahan dengan pandemik Covid-19 ini.
Rata-rata staf yang terlibat melahirkan rasa gembira dan juga kepuasan yang tak terhingga kerana melalui program sebegini, mereka merasakan diri mereka lebih cergas dari sebelum ini.
Turut serta dalam program ini adalah Pengarah JK, Dr. Mohamed Azlan Ashaari.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Prabu Mogan
- Created on .
- Hits: 963