USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-TERAJU JALIN KERJASAMA PERKUKUH SOSIOEKONOMI USAHAWAN B40 DI SARAWAK DAN LANGKAWI

teraju1

PULAU PINANG, 2 September 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha menyumbang kepakaran ilmu dan praktikal bagi memperkasakan pembangunan sosioekonomi komuniti luar yang memerlukan apabila memeterai kerjasama strategik bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi tujuan berkenaan.

Kerjasama USM dan TERAJU ini meningkatkan lagi akses perkongsian ilmu dan teknologi yang dimiliki USM dengan sokongan pembiayaan oleh TERAJU bagi memastikan pertumbuhan industri pembuatan dan pembangunan ekonomi masyarakat terutamanya golongan B40 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Apatah lagi dengan suntikan dana berjumlah RM8.75 juta yang diluluskan oleh TERAJU bagi menjayakan dua program komuniti secara bersama iaitu Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di Sarawak dan Innovation for Community (INNO4C) di Langkawi, Kedah memperkukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan komuniti dan usahawan B40 di Sarawak dan Langkawi.

IMG 0600

Bercakap di majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara kedua-dua pihak pada pagi ini, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, berikutan kerjasama di antara TERAJU dan USM yang terjalin sejak tahun 2015, TERAJU telah meluluskan peruntukan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) sebanyak RM2 juta kepada USM bagi melaksanakan Program Community Innovation Centre (CIC) melibatkan lapan projek di Koridor Utara. Seterusnya  pada tahun 2019, sebanyak RM6.8 juta diperuntukkan kepada USM bagi pelaksanaan Program Innovation for Community (INNO4C) melibatkan 6 projek scale-up di 16 kawasan di Sabah dan Sarawak.

“Alhamdulilah, terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan dari USM kepada TERAJU kerana pada tahun ini, sekali lagi pihak TERAJU terus mempercayai USM untuk menjalankan program-program komuniti yang dirancang melalui peruntukan DPUB 2020 dengan kelulusan sebanyak RM8.75 juta, iaitu Program SMART Community di Sarawak dan Program Innovation For Community (INNO4C) Koridor Utara bagi tempoh lima tahun,” katanya.

Jelas beliau lagi, Program SMART Community yang diperuntukkan sebanyak RM7 juta akan memberi tumpuan membangunkan ekosistem rantaian bekalan dengan mewujudkan platform pemasaran antarabangsa dan one-stop collection centre atau pusat pengedaran sebagai kemudahan infrastruktur pasaran setempat. Ia berfungsi sebagai pusat tambah nilai produk keluaran dan pengedaran semula daripada usahawan Sarawak kepada Syarikat Perdagangan Antarabangsa.

 SHR7121

“Manakala Program INNO4C berjumlah RM1.75 juta akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek “Integrated Multi-Trophic Aquaculture Farming (IMTA) Scale-Up Project for Seaweed and Lobster” menggunakan kepakaran ilmu dan teknologi yang dimiliki USM bagi mengembangkan penternakan rumpai laut di Semenanjung iaitu di perairan Pulau Langkawi, Kedah,” kata Faisal Rafiq.

teraju345

Pada majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Tuan Haji Md Silmi Abd Rahman berkata, kerjasama yang terjalin sejak 2015 dengan USM menunjukkan bahawa program-program yang dilaksanakan bersama USM sebelum ini membuahkan hasil seperti yang disasarkan, dan atas sebab itulah pihak TERAJU meneruskan kerjasama lagi pada tahun ini yang memberi tumpuan kepada golongan sasar usahawan B40 di Sarawak dan Langkawi.

“Saya berkeyakinan penuh program ini akan mengubah nasib golongan B40 yang disasarkan di kedua-dua negeri tersebut supaya dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 50 usahawan B40 yang berjaya dalam masa 5 tahun dari sekarang,” jelasnya.

TERAJU45

Tambah Md Silmi, program ini menyediakan platform kepada usahawan-usahawan B40 untuk mengetengahkan produk-produk mereka dan dibimbing oleh pihak USM sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh tersebut di samping mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang baharu.

CDH 1931

Yang turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Pembiayaan TERAJU, Mohd Najib Jaafar; Pengarah Urusan USAINS Holding, USAINS Group Holding Sdn. Bhd., Farid Wajidi Mat Yusoff; Pengarah Pejabat Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik dan Pengurus Besar Pusat Kraftangan Sabah, Yayasan Sabah, Zaiton Bakri.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa / Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1243

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024