MALAM KUNG FU USM KE-36 TERUSKAN TRADISI KECEMERLANGAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI
PULAU PINANG, April 2013 – Pihak Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menyokong usaha persatuan seni mempertahankan diri seperti Kelab Kung Fu dalam mempromosikan seni mempertahankan diri dalam kalangan warga kampus khususnya golongan mahasiwa-mahasiswi dan juga masyarakat luar.
Menurut Naib Canselor USM Prof. Dato’ Omar Osman, pihak universiti menyokong penuh penganjuran program seumpama ini – Malam Kung Fu USM – yang bukan sahaja dapat mengembang dan memartabatkan warisan budaya seni mempertahankan diri bangsa Cina malah dapat berkongsi dan memperkenalkan warisan budaya ini kepada masyarakat lain supaya dapat dikenali dan dihayati bersama.
“Saya begitu berbangga dengan rasa tanggungjawab dan komitmen tinggi yang ditonjolkan oleh ahli-ahli kelab yang mampu menyeimbangkan pencapaian mereka khususnya dalam mengelolakan acara besar dalam lapangan ko-kurikulum dan pada masa yang sama menjaga prestasi akademik mereka.
“Saya juga kagum dengan semangat berdikari, bekerja bersama-sama dan berkongsi sumber yang ada dengan persatuan pelajar lain selain semangat kesukarelawanan tinggi yang diterap oleh ahli-ahli Kelab Kung Fu dalam aktiviti harian mereka,” kata Omar dalam ucapan perasmian Malam Kung Fu USM ke-36 baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pihak universiti amat berharap persatuan pelajar lain akan dapat mencontohi kelab ini untuk terus mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa akan datang khususnya dalam penganjuran program yang melibatsamakan warga kampus dan komuniti luar kampus.
Dalam pada itu, dalam ucapan aluan, saudara Chin Teck Jiang, pengarah projek Malam Kung Fu USM 2013 merangkap presiden Kelab Kung Fu USM, turut mengucapkan terima kasih kepada mahaguru dan jurulatih yang sudi memberi tunjuk ajar dan latihan kepada ahli-ahli kelab secara percuma di samping penaja luar yang bermurah hati menghulurkan pelbagai sumbangan untuk menjayakan projek tahun ini.
Antara persembahan seni mempertahankan diri yang dipertontonkan adalah Shaolin, Tai Chi, Qi Gong, Wushu, gendang, pedang dan persembahan tarian naga.
Turut hadir dalam majlis yang meriah itu ialah Datin Noraizan Jamaludin, isteri Naib Canselor USM; Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) dan isteri; Prof. Dato’ See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan suami; Prof. Yuen Kah Hay, Penasihat Kelab Kung Fu USM; wakil dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang; dan En. Lim Kim Chee, Presiden Kelab Lions Tanjung Pulau Pinang.
Prof. Adnan dan Prof. Dato’ See juga mempamerkan kehebatan mereka memalu gendang apabila menyertai ahli-ahli kelab dalam persembahan pembukaan sempena majlis perasmian tersebut.
Malam Kung Fu ialah acara tahunan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Kung Fu USM yang menyajikan pelbagai jenis seni mempertahankan diri bangsa Cina. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 2528