USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMPEN KIBARKAN JALUR GEMILANG: SEMARAKKAN SEMANGAT KEMERDEKAAN DALAM KALANGAN WARGA USM

117303014 3312046222189721 7236950791637802096 o

USM PULAU PINANG, 27 Ogos 2020 - Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) menyeru kepada semua warga USM untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan patriotisme serta memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 melalui kempen Pengibaran Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) di Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing.

caf59f2b 57b3 4472 9e8e 0b7b7c747c9a

Kempen tersebut bermula dari 10 Ogos 2020 hingga 16 September 2020 melibatkan kesemua kampus USM.

Selain untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warga USM, kempen itu juga bertujuan memberi sokongan moral kepada warga USM untuk bersama-sama meraikan bulan kemerdekaan Malaysia dan khususnya sebagai penghargaan kepada semua perwira barisan hadapan USM yang sedang berjuang untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di kesemua kampus USM.

117391823 3312046268856383 7026325976604398902 o

Seperti amalan tahun-tahun sebelumnya, turut disertakan kepada setiap PTJ ialah garis panduan khas tatacara pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang sebagai rujukan kepada PTJ yang memerlukannya.

Daripada tinjauan kami di sekitar kampus induk USM, didapati kesemua PTJ telah menyahut inisiatif murni itu dengan memasang dan mengibarkan bendera Malaysia di lokasi-lokasi strategik di premis bangunan masing-masing.

454b2b4f 47f5 4bc6 98c1 77ce85da85e3

 

c93fa7a3 9ea2 469a 9da8 246f24295393

Sementara itu, di kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian, Kelantan, sebanyak 300 unit Jalur Gemilang diagihkan kepada kakitangan kampus tersebut dan juga kakitangan Hospital USM pada 25 Ogos 2020 dalam usaha memperkasakan kempen 'Kibar Jalur Gemilang' sepanjang bulan kemerdekaan.

Berdasarkan laporan rakan MPRC di Kampus Kesihatan, Jalur Gemilang tersebut diagihkan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim beserta pegawai-pegawai kanan dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kesihatan kepada setiap kenderaan warga kampus yang dalam perjalanan pulang selepas tamat waktu bekerja.

7566ec92 b3d0 46a5 b4f3 6c8de80591d1

01fc35b1 767c 4249 b23c 76ea66174ce6

Suasana kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan turut dirasai di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM yang terletak di pantai barat-laut Pulau Pinang dekat Teluk Aling.

Menurut Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, kakitangan dan pelajar di pusat penyelidikan laut dan pantai itu berganding bahu untuk memasang bendera Jalur Gemilang di sepanjang jeti ke pintu masuk/gerbang dan di sekitar premis CEMACS.

Bertemakan 'Malaysia Prihatin', Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini mungkin agak berbeza tanpa sambutan besar-besaran kerana kita masih bergelut mengekang penularan COVID-19, namun ia bukan alasan untuk kita sebagai rakyat Malaysia untuk tidak mengambil inisiatif untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan negara.

Malah memetik ucapan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2020 di Putrajaya pada 28 Julai 2020 yang baru berlalu, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kerana usia kemerdekaan negara mencecah 63 tahun.

Memetik lanjut ucapan beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan serta kemerdekaan negara, maka pengibaran bendera Malaysia secara langsung mengajak orang di sekeliling untuk menjiwai erti kemerdekaan yang sebenarnya.

Dalam artikel yang diterbitkan dalam akhbar tempatan pada awal Ogos ini, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM yang juga penganalisis politik yang tidak asing lagi di negara kita, berkata: “Jika patriotisme sering dirujuk kepada perasaan cintakan negara termasuk mempertahankan kedaulatan negara, bangga menjadi warganya, menjunjung ketertinggian Perlembagaan dan Rukun Negara, berkorban atas nama negara dan sentiasa mempertahankan maruah atau kemerdekaan negara, maka kibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan bahawa kita ialah warga Malaysia yang berjati diri tinggi.

Tambah beliau: “Jika kita boleh bersatu ketika berhadapan dengan krisis Covid-19, kenapa tidak ia dipanjangkan sepanjang bulan kebangsaan dan ia boleh dimulakan dengan kibaran Jalur Gemilang demi menyemarakkan rasa bangga, seronok, merdeka, bebas dan kemenangan serta kedaulatan bumi tercinta ini.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Abdul Hasib Abdul Rahman/CEMACS 

  • Created on .
  • Hits: 1213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024