USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DENGAN HANYA RM1, MASYARAKAT BERUPAYA BANTU PENYELIDIKAN OTAK, MINDA DAN NEUROSAINS MALAYSIA 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2020 – Rakyat Malaysia berpeluang menjadi sebahagian penyumbang kepada pembangunan penyelidikan otak, minda dan neurosains, satu bidang kritikal yang amat penting dalam dunia perubatan di negara ini dengan hanya RM1. 

Ia berikutan langkah proaktif yang diperkenalkan oleh Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) yang memberi peluang untuk masyarakat menyumbang RM1 setiap seorang bagi memastikan penyelidikan terhadap otak, minda dan neurosains dapat diteruskan dalam usaha melahirkan penyelidikan yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Pensyarah dan Pakar Neurosurgeri, Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pengasas YPOMNM, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, penyakit atau gangguan berkaitan otak, minda (mental) dan sistem saraf merupakan salah satu masalah kesihatan utama khususnya di Malaysia dan juga di peringkat global. 

IMG-20200824-WA0010.jpg

“Justeru, penyelidikan yang berkaitan dengan otak, minda dan neurosains akan menghasilkan data-data penting untuk mencegah, merawat dan mengubati penyakit-penyakit tersebut. 

“Walau bagaimanapun, penyelidikan dalam bidang ini di negara kita masih lagi sedikit disebabkan oleh kekangan sumber manusia dan peruntukan bagi melaksanakannya,” katanya ketika ditemubual, hari ini. 

Menurut Jafri, YPOMNM ditubuhkan sejak tahun 2017 dan diperakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bertujuan menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan serta mendapatkan dana dan sumbangan bagi para penyelidik aktif yang berminat untuk menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan otak, minda dan neurosains.

“YPOMNM juga akan melancarkan projek ‘Donations For Malaysian Brain Initiative Project 2020/2021: Aiming RM1 Per One Malaysian Citizen’ bermula September ini bagi mencari dana untuk kelangsungan penyelidikan ini. 

“Projek ini adalah aktiviti YPOMNM yang serupa dengan konsep ‘Mega Brain Initiatives” yang sudah ada sejak 2017 di tujuh (7) buah negara iaitu ‘US Brain Initiative’, ‘Canadian Brain Research Strategy’, ‘EU Human Brain Project’, ‘China Brain Project’, ‘Australian Brain Alliance’, ‘Korean Brain Initiative’ dan ‘Japan Brain/Minds’,” ujar beliau lanjut. 

Jafri berkata, YPOMNM berharap agar projek ‘Malaysian Brain Initiative’ menerusi kempen mengumpulkan RM1 daripada sekurang-kurangnya 15 juta rakyat Malaysia dapat membantu menambah dana untuk mewujudkan geran penyelidikan pengetahuan asas, klinikal dan yang berkaitan dengan neurosains. 

“Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai geran penyelidikan kepada institusi atau penyelidik yang berkelayakan bagi tujuan mewujudkan pangkalan data mengenai penyakit neurologi dan psikologi tempatan. 

“YPOMNM berterima kasih kepada semua penyumbang terdahulu dan mengalu-alukan sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam menghasilkan penyelidikan yang terbaik.

Selain itu, YPOMNM juga layak untuk menerima wang shubhah atau wang gharar daripada badan-badan Institusi Kewangan Islam selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-121 pada November tahun lalu,” jelasnya lagi. 

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Islamic Berhad, nombor akaun: 564258588020 (Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia).

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 732

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024