USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASIL CHITINASE, HAPUS SERANGAN SELURUH KOLONI ANAI-ANAI SEAWAL DUA MINGGU

thumbnail IMG 0062

PULAU PINANG, 20 Ogos 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan legasi inovasi penyelidikan bagi memanfaatkan komuniti apabila berjaya menjumpai kaedah berkesan menghapuskan seluruh koloni anai-anai yang menyerang kayu rumah didiami seawal dua minggu.

Produk yang dinamakan Chitinase terhasil daripada bakteria Bacillus Licheniformis yang dikultur dan dikeluarkan daripada anai-anai itu sendiri dan apa yang menarik, apabila dicampur bersama kulit udang (Colloidal Chitin), ia mampu bertindak secara semulajadi menyahkan kulit anai-anai dan menyebabkan anai-anai itu mati apabila serangga itu melalui cairan tersebut.

Menurut penyelidik USM, Profesor Madya Dr. Abdul Hafiz Ab. Majid dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, hasil penemuan beliau itu dapat merungkai permasalahan serangan anai-anai yang dihadapi oleh pemilik rumah iaitu mengapa anai-anai tidak mati sepenuhnya dan akan menyerang kembali walaupun telah menggunakan produk pembunuh anai-anai sedia ada di pasaran sekarang.

“Kita sedia maklum produk yang ada di pasaran sekarang selain mempunyai kandungan bahan toksik yang tinggi, ia sebenarnya menghapuskan satu peringkat koloni anai-anai sahaja, iaitu anai-anai ‘pekerja’ yang keluar mencari makan untuk keseluruhan koloni termasuk permaisurinya.

“Jadi teknik penghapusannya tidak berkesan kerana jika dikaji cara hidup anai-anai ini, ia mempunyai beberapa hirarki koloni seperti askar dan pekerja, dan lain-lain, jadi hanya anai-anai pekerja yang keluar mencari makanan dapat dihapuskan, malah permaisuri mampu bertelur lebih banyak bagi menghasilkan anai-anai baharu untuk tujuan kembali memakan kayu-kayu rumah,” jelasnya.

Kata Abdul Hafiz lagi, atas sebab itu beliau bersama beberapa orang penyelidik menyelidik dan membuat beberapa kajian bagi mencari penyelesaian tersebut supaya koloni anai-anai tidak berulang kembali menyerang kayu-kayu di rumah kediaman.

“Daripada hasil penemuan, Chitinase ini mampu bertindak dua kali iaitu cecair tersebut disemburkan di atas lapisan kayu, apabila anai-anai hadir dan memakan kayu tersebut, mereka akan bersentuhan sesama sendiri seterusnyamembawa pulang Chitinase ke koloni sarang utama.

thumbnail IMG 0067

 

“Dari situ pula, anai-anai pekerja akan saling memindahkan makanan dari mulut ke mulut, dan ia akan merebakkan Chitinase ini sehingga ke peringkat permaisuri dan akhirnya seluruh koloni anai-anai akan musnah sekiranya permaisurinya mati,” tambah Abdul Hafiz.

Katanya lagi,kelebihan kaedah dan bahan ini adalah ia tidak terus mematikan anai-anai, sebaliknya cecair tersebut akan dibawa balik ke sarang oleh anai-anai pekerja, direbak sehingga berjangkit ke seluruh koloni terutamanya permaisuri anai-anai tersebut.

“Jika anai-anai itu terus mati seperti amalan sekarang ini, ia tidak mampu memindahkan bakteria itu kepada seluruh koloninya, jadi ia merugikan dan tuan rumah bakal menghadapi serangan seterusnya oleh anai-anai baharu yang ditetas oleh permaisuri,” katanya lagi.

Selain itu, Abdul Hafiz turut mengesahkan bahawa Chitinase adalah seratus peratus semulajadi; ujian yang dilakukan di Pusat Racun Negara (PRN) membuktikan ia tidak mempunyai bahan terlarang di dalamnya.

“Kesimpulan yang dapat saya katakan di sini adalah ia memang selamat digunakan di mana-mana tempat dan tidak membahayakan nyawa manusia terutamanya kawasan seperti tadika,taska, pusat asuhan kanak-kanak dan rumah orang tua contohnya,” jelasnya.

Apa yang penting kos bagi menghasilkan Chitinase ini sangat murah dan bermanfaat kepada komuniti dengan hanya RM5.13, dan harga meningkat sedikit jika telah dilabel dan dikomersialkan, tetapi yang pasti ia lebih murah daripada produk-produk yang ada di pasaran sekarang.

Bercerita pula bagaimana permulaan beliau menyelidik dan menghasilkan Chitinase ini, Abdul Hafiz menerangkan projek ini asalnya tercetus di Sibu, Sarawak pada tahun 2013, dan pada masa tersebut beliau dan rakan penyelidik memperolehi projek daripada salah sebuah syarikat industri di sana untuk membantu mengawal anai-anai di kawasan kelapa sawit di tanah gambut.

“Pada masa itu, pihak kami telah mencuba pelbagai produk termasuk yang sedia ada di pasaran, tetapi tidak berhasil, kerana peringkat awal memang anai-anai itu dapat dihapuskan tetapi selepas itu kami berhadapan pula dengan masalah anai-anai perosak yang lain, jadi ia tidak selesai,” jelasnya.

Bertitik tolak dari projek tersebut, penyelidikan lanjut dijalankan dan akhirnya terhasil penemuan ini yang telah diuji dan berjaya menyelesaikan beberapa kes permasalahan  serangan teruk anai-anai.

Chitinase ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila berjaya merangkul dua anugerah di pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) 2020 di Kuala Lumpur, iaitu pingat emas dan Anugerah Khas ‘Japan Intellectual Property Association (JIPA)’ Kategori: Pertanian, Penternakan & Hortikultur, Akuakultur dan Perikanan, bertajuk: Bio-BacChi Termite.

Di akhir temubual, Abdul Hafiz turut menyatakan beberapa buah syarikat telah menghubungi beliau bagi menjalinkan kerjasama dan pengkomersilan produk tersebut, namun ia masih dalam peringkat perbincangan dan rundingan sebelum ke peringkat selanjutnya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 1633

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024