USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL TIGA ANUGERAH UTAMA MAKUM

IMG-20130401-WA0004

PULAU PINANG, 1 Apr.2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) cemerlang apabila menggondol tiga kejuaraan sempena Majlis Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) dan Majlis Penyerahan Sekretariat MAKUM yang berlangsung di Kuching, baru-baru ini.

Mendahului senarai, graduan sarjana Pusat Pengajian Komunikasi, Lee Kean Wei mengungguli Anugerah Skrip Terbaik dalam Pertandingan Video Dokumentari Seni Warisan dan Budaya 1 Malaysia, Blue Ocean Strategy melalui dokumentari arahannya, The Heirs.

Dokumentari tersebut mengisahkan tentang budaya upacara persembahan kematian Teoh Chew daripada masyarakat Cina tempatan yang mengalami masalah untuk mewariskan budaya tersebut kepada generasi seterusnya.

Pegawai Kebudayaan dan Penolong Pegawai Kebudayaan USM, Zulkifli Che Hussin dan Muhamad Al Hafiz Md Sani turut melakar kecemerlangan apabila dinobat penerima Anugerah Gendang Sari Utama.

Anugerah tersebut dipertandingkan bagi mengiktiraf pagawai MAKUM yang yang paling aktif dan komited menyertai dan menganjurkan pelbagai aktiviti MAKUM.

USM secara keseluruhan turut terpilih sebagai penerima Anugerah Saron Wangsa Seri Perdana, satu pengiktirafan yang diberikan kepada Universiti yang paling aktif menyertai dan menganjurkan aktiviti MAKUM.

Warga USM turut mewarnai senarai finalis bagi beberapa kategori utama yang dipertandingkan termasuk Anugerah Gambang Mustika melalui Nur Najjua Mohamad dan Anugerah Bonang Emas Lelaki dan Wanita, masing-masing diwakili oleh Mohammad Affan Abas dan Alia Farhana Mohamed Isa.

Ketiga-tiga anugerah adalah bertujuan untuk menghargai sumbangan dan komitmen kelab, pelajar lelaki dan wanita yang paling aktif dalam menyertai dan melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan di peringkat antarabangsa mahupun MAKUM.

Majlis anugerah tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi MAKUM merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga USM yang telah melakarkan kemenangan, sekaligus mengharumkan nama Universiti dalam arena kebudayaan.

Beliau turut berharap kejayaan tersebut dapat menyuntik semangat buat semua warga USM bagi meneruskan komitmen dan meletakkan pencapaian USM pada tahap terbaik dalam semua lapangan.

 

  • Created on .
  • Hits: 3095

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024