USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BEKERJASAMA WAU ANIMATION, PERKENAL KEMPEN KESEDARAN KESIHATAN MELALUI PLATFORM DIGITAL

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2020 – Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan sebuah filem pendek animasi 3D sempena kempen ‘Burn and Blast Injury Awareness’ menerusi platform media sosial Facebook, Instagram dan Youtube.

6a2ffa5d-2d89-4235-bf9a-d946c1a41e2f.jpg

Video pendek berdurasi 1 minit 17 saat itu dilancarkan pada bulan Mei lalu bertujuan memberi kesedaran ekoran Hospital USM sering menerima kes kecederaan luka terbakar dengan peningkatan yang memuncak setiap kali musim perayaan khususnya pada bulan Ramadan dan Syawal.

Menurut Pengarah projek yang juga Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar, menyedari kes kecederaan akibat mercun semakin meningkat di Malaysia, Unit Rawatan Kebakaran mengambil inisiatif bekerjasama dengan Syarikat WAU Animation Sdn Bhd (terkenal dengan siri animasi 3D, Ejen Ali) menghasilkan video untuk mendidik masyarakat tentang bahaya bermain mercun.

9efe8209-d716-4477-b9cb-3bdd55c99498.jpg

“Lebih dahsyat apabila kes-kes luka terbakar melibatkan kecederaan akibat letupan adalah disebabkan oleh mercun yang dibeli atau mercun buatan sendiri sehingga menyebabkan kecederaan, kerosakan serta kecacatan kekal.

“Kami sangat bertuah dapat bekerjasama untuk menghasilkan video pendek ini kerana ‘WAU Animation’ menerusi nama ‘thewaufactor’ mempunyai 143,000 pengikut di laman Youtube sekali gus memberi impak positif ke atas video kempen kesedaran kesihatan ini,” ujarnya.

c763f7fe-632e-410a-af33-9bd31962a50c.jpg

Tambah Fatimah, projek penghasilan video animasi bersama ‘WAU Animation’ ini telah memberi nilai tambah baharu untuk mempromosikan kempen kesedaran kesihatan melalui platform digital selain menarik perhatian para pelabur untuk membiayai projek sebegini di masa hadapan.

“Menerusi kolaborasi ini, ‘WAU Animation’ telah menghasilkan watak kartun atau harta intelek (I.P) untuk USM yang mana USM mempunyai semua hak untuk menggunakan watak kartun ini untuk kempen atau projek lain yang akan datang bagi mengurangkan kos untuk projek masa depan.

9697af81-b4d9-4018-9467-8e379c310feb.jpg

“Siri kedua video pendek ini bakal ditayangkan pada akhir bulan Ogos manakala siri ketiga pula pada penghujung tahun nanti,” jelasnya lagi.

Video tersebut juga dikongsikan dalam laman Facebook rasmi USM yang mempunyai lebih 200,000 pengikut.

Fatimah turut memohon kepada semua supaya ‘SHARE’ dan ‘LIKE’ video tersebut untuk menyebarkan mesej "Raya Cun Tanpa Mercun" atau "Bakar Semangat Bukan Api" bagi menyampaikan mesej kepada segenap lapisan masyarakat menerusi pautan: https://www.facebook.com/152558971471811/posts/3076707712390241/?sfnsn=mo&d=n&vh=e#staytune #kitajagakita.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1051

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024