USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LUANG MASA BERTEMU ALUMNI PUSAT PENGAJIAN SENI USM DI PAMERAN “UNCERTAINTY DISSOLVES”

lukis1

PULAU PINANG, 18 Ogos 2020 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkesempatan meluangkan masa bertemu sekumpulan alumni Pusat Pengajian Seni USM dari tahun 2009 sehingga 2019 yang mempamerkan hasil karya mereka di pameran “Uncertainty Dissolves”.

Ibarat ‘Sirih Pulang ke Gagang’, pameran ini hasil kerjasama di antara Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM dengan Pusat Pengajian Seni USM berjaya menghimpunkan pelbagai karya seni yang dihasilkan oleh 18 alumni tersebut seperti lukisan, lakaran dan instalasi kreativiti dan penyelidikan mereka sendiri.

lukis2

lukis3

Naib Canselor yang amat teruja dengan inisiatif dan hasil karya mereka, meluangkan masa untuk hadir memberi sokongan dan meraikan mereka yang kebanyakannya kini menjadi antara pelukis-pelukis muda berbakat di Malaysia, malah ada dalam kalangannya menjadikan karya yang dihasilkan sebagai satu daripada punca pendapatan utama.

lukis5

FB IMG 1597831361376

Sesi santai dan pertemuan empat mata bersama Naib Canselor ini sedikit sebanyak dapat memperlihatkan beberapa cetusan idea dan perkara yang boleh diketengahkan bagi pembangunan bidang Seni Halus untuk generasi yang sedang mengikuti pengajian mahupun yang bakal melanjutkan pelajaran di USM pada masa akan datang.

lukis6

Pada sesi yang berlangsung hampir dua jam itu, Naib Canselor turut melawat pameran dengan melihat sendiri hasil karya seni lukisan para alumni yang telah dipamerkan sejak awal bulan Julai lalu sehingga 29 Ogos ini.

Yang turut hadir ke sesi santai pameran tersebut adalah Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Mumtaz Begum Pv Aboo Backer; Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM, Zolkurnian Hassan; Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni USM, Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal; dan Pensyarah-Pensyarah dari Jabatan Seni Halus, Pusat Pengajian Seni USM.

Antara alumni yang hadir adalah Afzanizam Mohd Ali, Amir Mansor, Amirul Alwi, Hafizah Rosli, Maizul Affendy, Moses Khor, Norfatihah Yusof, TC Liew dan SM Raja.

lukis7

Warga kampus dan orang ramai yang berminat adalah dijemput untuk hadir ke pameran tersebut di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM bagi melihat sendiri keunikan hasil karya seni para alumni terbabit.

Nota:

Senarai penuh alumni Pusat Pengajian Seni USM (2009–2019) yang mempamerkan karya seni mereka ialah:

Ain Ariffah, Afzanizam Mohd Ali, Ain Munirah, Amir Mansor, Amirul Alwi, Athirah Azlee, Ermy Shahira Zaihan, Hafizah Rosli, Hana Tan, Maizul Affendy, Mary Tang, Moses Khor, Nik Mohd Husyaidi, Norfatihah Yusof, Putri Amrizal, SM Raja, TC Liew, and Zamri Yacob. 

USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada setiap seorang daripada mereka atas sokongan yang diberikan terutamanya dalam menyumbang hasil karya seni masing-masing untuk dijadikan bahan pameran secara kolektif bagi tatapan dan kenikmatan warga kampus dan luar kampus.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1336

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024