USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA DALAM BIDANG BAHASA USM-KUFS DIPERKUKUH DENGAN MOA

DSC 1872

PULAU PINANG, April 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang bahasa dengan Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), Jepun melalui satu memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak di sini baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar merangkap pemangku Naib Canselor USM, Prof. Adnan Hussein berkata, MoA ini adalah hasil cetusan beberapa perbincangan yang diadakan antara PPBLT dan KUFS sebelum ini untuk mewujudkan program pertukaran pelajar antara kedua-dua institusi tersebut dengan tumpuan khusus kepada bidang bahasa.

Katanya, pada Februari 2012, 10 pelajar KUFS yang ditaja sepenuhnya oleh universiti itu sendiri telah dihantar ke PPBLT untuk mengikuti kursus Bahasa Inggeris intensif selama 2 minggu, dan baru-baru ini seramai 7 pelajar lagi telah dihantar ke USM untuk belajar Bahasa Melayu dan budaya Melayu.

“Melalui MoA ini, lebih ramai pelajar KUFS akan berpeluang menyertai program bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang ditawarkan di PPBLT dan pada masa yang sama didedahkan kepada persekitaran akademik dan budaya tempatan di dalam kampus.

“Di samping itu, mereka juga berpeluang bergaul mesra dengan pelajar tempatan yang berbilang kaum dan populasi besar pelajar antarabangsa yang terdapat di USM,” kata Adnan ketika berucap dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Adnan juga berharap lebih ramai pelajar dari PPBLT akan diberi biasiswa pendidikan dari Negara Jepun untuk mengikuti kursus jangka pendek, program internship atau menjalankan kajian bahasa di KUFS.

Sementara itu, Presiden KUFS, Profesor Takeshi Matsuda turut menyuarakan kegembiraannya kerana institusinya berpeluang menjalin kolaborasi akademik yang strategik dengan sebuah universiti yang begitu berprestij seperti USM dalam bidang kajian bahasa.

“Selain program pertukaran pelajar, saya yakin MoA ini akan menjadi platform untuk kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam bidang bahasa melalui pertukaran staf akademik, program akademik yang melibatkan guru bahasa Melayu dan bahasa Jepun, kolaborasi penyelidikan seperti projek Halal Mapping di Kyoto memandangkan bilangan pelajar dan pelawat dari negara Islam yang melawat Jepun kian bertambah saban tahun,” kata Matsuda.

Dalam majlis tersebut, USM diwakili oleh Prof. Adnan Hussein manakala KUFS diwakili oleh Prof. Takeshi Matsuda. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Konsul-Jeneral Negara Jepun ke Malaysia, En. Ryuji Noda; Konsulat Jepun, En. Kenichi Nishazawa; Dekan Pusat Kerjaya KUFS, Prof. Madya Hiroaki Ikezaki; Dekan PPBLT, Profesor Madya Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi; pegawai utama universiti dan delegasi KUFS. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1814

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024