USM SUMBANG CECAIR SANITASI TANGAN KEPADA MRSM TAIPING, DIDIK AMALAN KEBERSIHAN BERTERUSAN
TAIPING, PERAK, 14 Ogos 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha memberikan pendidikan melalui amalan kebersihan berterusan bagi berhadapan wabak Covid-19 apabila menyumbangkan 100 botol cecair sanitasi tangan kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak, untuk kegunaan kakitangan dan pelajar sekolah tersebut.
Sumbangan merupakan inisiatif Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM yang telah menghasilkan cecair sanitasi berkenaan dan telah diserahkan secara rasmi oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di sini petang ini.
Menurut Naib Canselor, sumbangan ini merupakan satu program komuniti dengan hasil kepakaran yang dimiliki USM untuk dimanfaatkan komuniti luar selaras dengan usaha bersama kerajaan memastikan pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi wabak pandemik ini.
"USM sentiasa berusaha menghasilkan pelbagai bentuk inovasi dan rekacipta bagi membantu memudahkan komuniti sejajar dengan misi dan visi universiti supaya pembangunan akademik dapat seiring dengan nilai-nilai bantuan kemanusiaan untuk komuniti sejagat,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan cecair sanitasi tangan yang dihasilkan oleh USM ini dapat digunakan dengan baik di MRSM dan memastikan kebersihan pelajar dan kakitangan sentiasa terjamin di dalam tempoh negara sedang berhadapan wabak Covid-19.
Pada majlis yang sama, Pengetua Cemerlang MRSM, Taiping, Noriha Ahmad mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada USM di atas sumbangan ini dan berharap hubungan baik dan pelbagai kerjasama dengan USM dapat ditingkat pada masa akan datang.
"Saya bagi pihak pengurusan tertinggi MRSM Taiping amat menghargai keprihatinan dan sumbangan berupa cecair sanitasi tangan oleh USM ditambah pula dengan situasi kini yang amat memerlukan inisiatif sebegini bagi menjamin kesihatan dan kebersihan pelajar termasuk kakitangan sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya ketika ditemui.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Taiping, Marsuria Darus; Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat Pelajar MRSM Taiping, Noorhaziah Abdul Halin; Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor USM, Mohd Rashid Abdul Rejab dan pegawai-pegawai utama MRSM Taiping.
Pada petang yang sama, Naib Canselor yang juga dilantik sebagai Ikon MRSM Taiping 2020-2022 sebelum ini, turut meluangkan masa melawat sekitar maktab melihat fasiliti-fasiliti dan mengadakan perjumpaan bersama barisan pengurusan tertinggi MRSM Taiping.
Di sebelah malamnya pula, Naib Canselor mengadakan sesi pertemuan bersama 280 pelajar Tingkatan 5 MRSM Taiping yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyampaikan ceramah motivasi dan perkongsian idea berkenaan dengan situasi cabaran semasa pembelajaran yang dilalui kini.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1811