HORMATI JENAZAH: PPK RUMAH MAYAT AKUI SELESA BEKERJA TANPA RASA TAKUT
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Ogos 2020 – Kesunyian dan kedinginan malam ditambah dengan bunyi-bunyian apatah lagi bertemankan sekujur tubuh yang tidak bernyawa, pastinya bisa meremangkan bulu roma sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi tersebut.
‘Alah bisa tegal biasa’ ungkapan yang sinonim bagi menzahirkan apa yang dilalui oleh Azizi Shafii, 55 kerana semua itu asam garam sepanjang bertugas di rumah mayat hampir 26 tahun.
Sebagai seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK), di Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 1994, beliau bertanggungjawab membantu Doktor dan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) melakukan bedah siasat, memandi dan menguruskan jenazah di samping urusan pentadbiran yang lain seperti proses pendaftaran, penyerahan mayat, pengeluaran dokumen, permit kubur dan lain-lain dokumen sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
“Sebagai contoh, sekiranya jenazah yang dihantar ke sini adalah mangsa kemalangan, beberapa prosedur tertentu perlu dilakukan terlebih dahulu seperti mengambil gambar mangsa serta urusan pentadbiran lain sementara menunggu ketibaan pihak polis bagi pengesahan menjalankan prosedur selanjutnya.
“PPP akan mengambil gambar mayat terlebih dahulu sebagai bukti dan saya akan membersihkan mayat daripada segala kekotoran sebelum doktor melakukan penelitian untuk mengenalpasti kecederaan dan sekiranya perlu dilakukan bedah siasat, maka pembedahan akan dijalankan,” ujarnya.
Azizi yang mula berkhidmat di Hospital USM sebagai Atendan Kesihatan pernah ditugaskan di Unit Rekod Perubatan selama enam (6) tahun, di Dewan Bedah selama empat (4) tahun sebelum menerima tawaran bertugas di Unit Forensik pada tahun 1994 sehingga sekarang.
Ditanya sama ada wujud perasaan takut ketika bekerja di tempat yang dikatakan paling menyeramkan di hospital itu, Azizi hanya tersenyum dan menjawab ‘tidak'.
"Semasa mula-mula bertugas di sini, macam-macam cerita yang menakutkan bermain di fikiran. Apatah lagi suasana yang agak suram dan tersorok di sebalik bangunan-bangunan lain, agak menyeramkan.
"Bagaimanapun, tanggapan itu tidak benar kerana tiada langsung perkara pelik atau misteri yang berlaku pada saya dan rakan-rakan setugas. Malah, kami selesa di sini dan adalah lebih baik jika tidak ditukarkan ke unit atau jabatan lain," katanya lagi.
Sepanjang berkhidmat, beliau merasa bertuah kerana diberi peluang mengikuti kursus tentang cara-cara pengawetan mayat (embalming) di Kuala Lumpur selama sebulan pada tahun 1997.
“Banyak pengalaman yang saya timba di sana sehingga saya mampu memberi tunjuk ajar kepada orang lain tentang cara-cara pengawetan mayat bagi kes-kes yang ingin dieksport melalui penerbangan.
“Contohnya jenazah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dieksport ke Indonesia, perlu melalui proses ‘embalming’ untuk memastikan jenazah tersebut masih dalam keadaan baik, tidak reput dan tidak berbau ketika tiba di negara tersebut kerana mayat yang melalui proses pengawetan biasanya tahan sehingga sebulan,” jelasnya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menjadikan Profesor Madya Dr. Md Salzihan Md Salleh sebagai ikon atau sumber rujukan dan boleh diibaratkan sebagai seorang guru yang banyak memberi tunjuk ajar kepada beliau tentang cara-cara pengurusan jenazah.
Daripada seorang yang tidak tahu apa-apa, beliau kini tahu selok belok menguruskan jenazah mengikut hukum syarak.
“Apabila kita hendak memulakan sesuatu tugas, niatlah secara elok. InsyaAllah setiap urusan kita dalam mengendalikan jenazah akan berjalan lancar.
“Menjaga aib jenazah adalah amanah kita sebagai petugas, bila kita jaga aib jenazah, urusan kita Allah akan permudahkan,” ujarnya lagi.
Berpegang kepada prinsip tidak membezakan staf antara satu sama lain dan menganggap mereka semua sama rata sebagai satu keluarga, Azizi berkata, setiap staf mempunyai kelebihan dan kepakaran masing-masing.
“Sebagai PPK senior di Rumah Mayat, saya sering berkongsi ilmu dan bersedia menerima pandangan serta mendengar pendapat staf yang lain dan dari situ saya cuba mempraktikkan tugas yang lebih baik dari sebelumnya.
“Kebanyakan orang yang datang ke rumah mayat agak sensitif kerana kehilangan orang yang mereka sayangi, jadi sebagai petugas kita haruslah sentiasa menjaga sensitiviti tersebut selain cuba memberi nasihat yang terbaik kepada mereka agar sentiasa sabar,” katanya.
Mengakhiri temubual bersamanya, Azizi turut menitipkan kata-kata motivasi kepada semua warga Kampus Kesihatan untuk terus menyumbang keringat dan bakti agar USM lebih maju dan sentiasa menjadi sumber rujukan kepada orang lain di seluruh pelosok dunia.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 949