USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAJA AMMONIUM NITRAT SEBAGAI BAHAN LETUPAN: SELAMATKAH KITA?

12567782

  • Oleh: Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan bin Mohd Hashim
  • Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia
  • Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
  • 7 Ogos 2020

Dunia dikejutkan dengan tragedi letupan di Beirut, Lubnan pada 5 Ogos 2020 yang lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, tragedi berdarah tersebut telah mengorbankan hampir 150 nyawa dan lebih 5,000 kecederaan membabitkan orang awam dengan kerugian dianggarkan mencecah AS$20 billion.

Letupan dikatakan berpunca daripada simpanan 2,750 tan baja ammonium nitrat (AN) yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Impak tragedi ini mengakibatkan pengisytiharan darurat di Beirut selama dua minggu dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian sama ada disebabkan oleh perbuatan khianat atau kecuaian.

Ammonium nitrat (AN)

Umumnya, baja ammonium nitrat (AN) asalnya bukanlah dikategorikan sebagai bahan letupan dan digunakan secara meluas di dalam sektor pertanian dan industri hiliran yang lain.

Namun jika dicampurkan dengan bahan-bahan tertentu pada nisbah campuran yang tepat maka terhasilnya bahan letupan.

Sebagai contoh, campuran baja AN dengan bahan api atau “fuel oil” (FO) pada kadar nisbah yang tertentu boleh menghasilkan sebatian kimia yang bertindak balas dan dijadikan bahan letupan dikenali sebagai ANFO.

Hasil tindak balas pada keadaan sempurna ini menghasilkan gas nitrogen (N2), karbon dioksida (CO2) serta molekul air (H2O) dan membebaskan tenaga sekitar 3,900 kilojoule per kilogram (KJ/kg).

Namun pada kebiasaannya, akibat pembakaran tidak sempurna, proses ini turut menghasilkan gas-gas toksik seperti karbon monoksida (CO), nitrogen dioksida (NO2), nitrogen monoksida (NO) dan perubahan bentuk tenaga seperti gegaran dan ledakan udara (air blast).

Dalam tragedi letupan di Beirut, dianggarkan 2,750 ton simpanan baja AN boleh membebaskan kira-kira 10,725,000,000KJ (atau 10.725 x 109KJ) tenaga.

Sebagai perbandingan, melalui kajian yang telah diterbitkan pada tahun 2005, sebanyak 375J tenaga diperlukan untuk meretak tulang.

Maka impak letupan tersebut boleh mencecah 28.6 billion kali ganda berbanding tenaga diperlukan untuk meretak tulang.

ANFO sebagai bahan letupan

Penggunaan ANFO, bahan dan aksesori letupan lain digunakan secara meluas di dalam industri komersial seperti peletupan kuari, lombong, pembukaan terowong dan pemotongan bukit di seluruh dunia berdasarkan faktor kos, pengendalian yang lebih selamat (mengikut garis panduan yang ditetapkan) serta kadar halaju letupan (VOD) yang tinggi bagi proses pemecahan batuan.

Penggunaan ANFO di dalam industri kuari dan lombong bermula semenjak 70 tahun yang lalu menggantikan nitrogliserin (NG) yang lebih berbahaya dan sukar dikendalikan.

ANFO

Sumber : https://www.epc-groupe.co.uk/products/emulsion-primers/

Namun, jika kepakaran proses penghasilan ANFO ini disalahguna atau jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab serta diimprovisasi dengan menambah bahan-bahan berbahaya lain maka kesannya adalah sangat dahsyat terhadap hidupan dan struktur binaan.

Hal inilah yang berlaku di negara-negara bergolak apabila ANFO disalahguna dan dijadikan sebagai salah satu bahan letupan yang mampu menghasilkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Perundangan berkaitan dan kawalan

Di dalam hal ini, aktiviti peletupan komersial di Malaysia telah lama dikawalselia sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi melalui Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 (Explosives Rules 1923).

Peraturan ini menyatakan dengan terperinci berkenaan pelesenan bahan letupan sama ada mengilang, menyimpan, mengimport/eksport, memiliki, membeli dan menggunakan bahan letupan termasuk peraturan pengangkutan, pembungkusan dan ujian terhadap bahan letupan.

Penguatkuasaan dan kawalan terhadap penggunaan bahan letupan seperti ANFO ditambahbaik dengan pewartaan Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Akta ini memberi kuasa kepada pihak PDRM berkaitanaktiviti pengilangan, penggunaan, penjualan, penstoran, pengangkutan, pengimportan dan pengeksportan bahan letupan.

Hal ini turut diperincikan lagi dengan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) di dalam menguruskan segala urusan pelesenan serta kawalan bahan letupan dan penguatkuasaan undang-undang sebagaimana yang telah diperuntuk kepada pihak PDRM.

Di Malaysia, mengambilkira keselamatan awam akibat perkembangan semasa aktiviti keganasan dan perbuatan khianat di seluruh dunia, baja ammonium nitrat (AN) dan kalium nitrat (KNO3) telah diwartakan sebagai bahan letupan dan perlu dikawal penggunaannya bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengisytiharan bertarikh 1 Mac 2018 ini termaktub di dalam Seksyen 3, Akta Bahan Letupan 1957. Melalui pengisytiharan ini, pihak PDRM diberi kuasa untuk mengawalselia aktiviti perdagangan, penyimpanan dan penggunaan baja seperti AN dan KNO3 dengan lebih efektif demi keselamatan harta benda dan ketenteraman orang awam agar tragedi seperti yang berlaku di Beirut, Lubnan ataupun aktiviti berkaitan keganasan dapat dikekang daripada berlaku di Malaysia.

Di dalam industri mineral negara, pengendalian operasi pengkuarian dan perlombongan juga termaktub di dalam Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).

Secara umumnya tanggungjawab dan aktiviti peletupan di kawasan kuari dan lombong wajib dikendalikan oleh seorang pembedil berlesen di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan PDRM.

Selain itu, kawalselia aktiviti dan operasi peletupan di kuari dan lombong turut termaktub di dalam enakmen mineral ataupun peraturan kuari negeri-negeri.

Melalui semua perundangan yang dinyatakan di atas, suatu garis panduan yang komprehensif dan diyakini keberkesannya terhadap penggunaan, prosedur operasi standard (SOP) di dalam pengendalian, pengangkutan dan penyimpanan bahan letupan dapat dikawalselia serta dikuatkuasa secara menyeluruh.

AN

Sumber : InnovaMinex

Melestari masa hadapan

Mendepani isu ini, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia telah mewujudkan program kejuruteraan sumber mineral sejak tahun 1984.

Graduan-graduan program ini telah dipersiapkan dengan kursus-kursus berkaitan dengan teknologi, reka bentuk peletupan serta perundangan berkaitan sebagai persiapan menjadi pembedil berlesen mahupun jurutera kuari dan lombong yang kompeten.

Selain itu, kursus-kursus teknikal dan adaptasi teknologi IR 4.0 turut diaplikasikan demi kelestarian pengurusan operasi pengkuarian dan perlombongan yang mampan di dalam memajukan industri mineral negara yang dianggarkan bernilai RM4.1 trillion seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada 28 Mei 2020 yang lalu.

Oleh yang demikian, persoalan tahap keselamatan terhadap kawalselia dan penggunaan baja AN dan KNO3 di Malaysia sebenarnya telah melalui proses pewartaan perundangan secara menyeluruh dan diyakini keberkesanannya.

Sebarang anasir penyalahgunaan sentiasa dipantau dan dikuatkuasa oleh pihak PDRM manakala aspek pengoperasian aktiviti peletupan dipertanggungjawab kepada pembedil berlesen yang didaftarkan dan dikawalselia oleh pihak JMG.

Di samping itu, pihak universiti turut berperanan mengeluarkan jurutera sumber mineral yang kompeten dari aspek teknikal, kelestarian dan beretika.

Diharapkan integrasi daripada ketiga-tiga elemen di atas berupaya mewujudkan kestabilan ekonomi industri mineral negara di samping menjaga keselamatan awam secara menyeluruh.

Nota: Penulis adalah seorang pensyarah di dalam bidang peletupan komersial, pengkuarian, perlombongan dan alam sekitar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia.

  • Created on .
  • Hits: 2990

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024