USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAUNTER FARMASI PANDU LALU, KUBIKEL ISOLASI ANTARA KEMUDAHAN TERKINI BENDUNG PENULARAN COVID-19

pandu10

PULAU PINANG, 9 Ogos 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah melancarkan dua lagi kemudahan demi memperbaik kualiti penyampaian perkhidmatan rawatan kesihatan kepada warga universiti di kampus induk, iaitu Kaunter Farmasi Pandu Lalu dan Kubikel Isolasi Pusat Sejahtera USM.

Pelancarannya dirasmikan oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Ali pada 7 Ogos yang lalu.

Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid dalam ucapan alu-aluannya berkata, dengan adanya Kaunter Farmasi Pandu Lalu dan Kubikel Isolasi ini akan memudahkan Pusat Sejahtera menyediakan perkhidmatan rawatan yang efisien kepada pesakit. 

pandu11

“Melalui kaedah pandu lalu, pesakit tidak perlu masuk ke dalam bangunan, tidak perlu mencari tempat parkir kenderaan, dan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan susulan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan semasa menunggu pendispensan ubat,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM yang memberi sumbangan Kaunter Farmasi Pandu Lalu serta Dr. Musa Ali yang menyumbangkan dana bagi pembelian bahan asas bagi penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta kerjasama dan semangat kesukarelaan yang amat tinggi ahli-ahli Kelab Jasa Budi USM yang telah menghasilkan 243 helai gaun, 385 penutup hijab dan 332 penutup kasut untuk kegunaan petugas barisan hadapan Pusat Sejahtera. 

pandu12

“Sementara itu, pembangunan Kubikel Isolasi pula tepat pada masanya dan bersesuaian bagi menghalang penularan jangkitan kepada doktor dan paramedik barisan hadapan yang bertugas memeriksa pesakit yang bergejala Covid-19.

“Saya bagi pihak Pusat Sejahtera amat berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas sumbangan tersebut.

pandu20

“Pun begitu pembangunan Kubikel Isolasi ini tidak akan terhasil tanpa inovasi dan komitmen yang hebat dari Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Baharuddin Abdullah bersama dengan pasukan penyelidik dan pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Kampus Kejuruteraan USM,” ujarnya lagi.

Dr. Normala turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Dr. Mohd. Fadzil Ain dan pasukan beliau atas sumbangan dan ciptaan termometer automatik bagi kegunaan mengimbas suhu pesakit sebelum mendapat rawatan di Pusat Sejahtera serta di blok yang menempatkan pelajar yang dikuarantin. 

pandu21

Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik turut menyumbang sinki air dan sabun automatik tanpa sentuh, yang mana kedua-dua sumbangan tersebut amatlah memudahkan pihak Pusat Sejahtera menjalankan tugas serta mengurangkan risiko jangkitan.

Menurut Dr. Normala juga, sejak penularan Covid-19, Pusat Sejahtera juga telah mengikhtiar dan memperkenalkan beberapa perkhidmatan tambah nilai dan kemudahan kepada warga kampus dan pesara USM.

“Antaranya, kami menyediakan perkhidmatan konsultasi telefon untuk mengurangkan risiko jangkitan yang mana pesakit boleh menelefon dan berkonsultasi dengan doktor tanpa perlu hadir ke Pusat Sejahtera.  

pandu23

“Saya percaya Pusat Sejahtera USM akan terus menjadi pusat yang sangat relevan, dihormati dan terus berkembang maju menabur bakti kepada yang memerlukan,” tambahnya.

Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 957

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024