USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOSQUE TOUR WEEK 2020: USM SAJI PELBAGAI AKTIVITI MENARIK DENGAN PENUH KESEDERHANAAN, PATUHI SOP

116423501 4421453084561873 4884906424356334405 o

PULAU PINANG, 9 Ogos 2020 – Buat tahun kelima berturut-turut, Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan program tahunan Mosque Tour Week 2020 dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik buat tatapan warga kampus dan masyarakat luar berbilang bangsa dan agama.

Program itu yang mula dianjurkan pada tahun 2015, bertujuan memupuk keharmonian antara agama dengan mempromosikan nilai-nilai universal dan kedamaian dalam beragama.

Ia akan diadakan selama dua hari bermula 12 Ogos sehingga 14 Ogos 2020 di sekitar Masjid Al-Malik Khalid USM, dan antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk Hari Terbuka Masjid, Pelita Sayyidil Ayyam, Kelas Keusahawanan, Kursus Pensijilan Halal, Pertandingan Tilawah Al-Quran dan banyak lagi.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman, program Mosque Tour Week 2020 disambut dengan penuh kesederhanaan dan yang penting mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan kita masih di dalam senario berhadapan dengan wabak Covid-19.

“Ternyata dari apa yang dilihat pada tahun-tahun sebelum ini, kebiasaannya aktiviti-aktiviti yang diadakan mendapat sambutan yang baik dari pelajar, staf mahupun masyarakat luar berbilang agama dan bangsa, malahan turut menarik minat pelancong luar negara untuk bersama-sama dalam program ini.

116613394 4416774935029688 7239688690213524965 o

Tetapi tahun ini memandangkan negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19, Pusat Islam USM mengambil pendekatan dengan mengadakannya dengan penuh kesederhanaan, ketelitian dan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti keutamaan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, merekod suhu badan dan nama serta mencuci tangan dengan cecair sanitasi tangan sebelum pengunjung boleh menyertai apa juga aktiviti yang disajikan,” kata Mohammad Shukri.

Tambah beliau lagi, program tahun ini hanya diadakan pada waktu bekerja bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 6.00 petang jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya padat dengan aktiviti sehingga malam; ini untuk memberi laluan kepada pihak penganjur melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi seperti yang diperlukan.

Antara aktiviti lain yang disediakan adalah pertandingan Inovasi Masjid (INOMOS) bagi mendapatkan idea-idea baru dalam menginovasikan masjid dan pertandingan Mencipta Ikon Pendidikan (Kapten Khalid).

Program kali ini turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Kolej Komuniti Bayan Baru serta beberapa pusat tanggungjawab USM yang terlibat secara langsung di dalam program tersebut.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan program Mosque Tour Week 2020; untuk maklumat lanjut berkenaan program ini, bolehlah melayari laman web: mosquetourweek2020.blogspot.com atau media sosial Facebook, Instagram dan Telegram: PUSAT ISLAM USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Islam USM

  • Created on .
  • Hits: 942

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024