USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAKAR SEJARAH WUJUDKAN KAUNTER FARMASI PANDU LALU DAN KUBIKEL ISOLASI PUSAT SEJAHTERA

pandu1

PULAU PINANG, 7 Ogos 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah melancarkan Kaunter Farmasi Pandu Lalu dan Kubikel Isolasi Pusat Sejahtera USM di sini hari ini. Pelancarannya telah dirasmikan oleh Pendaftar USM, Dr. Musa Ali.

Menurut Musa dalam ucapan perasmiannya,berkata dalam norma baharu akibat penularan wabak Covid-19, sudah semestinya Pusat Sejahtera USM memerlukan satu kaedah baru untuk pesakit mendapatkan bekalan ubatan tanpa perlu bersesak di ruangan menunggu dan dapat mengelakkan daripada terdedah dengan pesakit-pesakit lain. 

pandu3

“Dengan adanya perkhidmatan ini juga, ia memberi pilihan untuk pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan/ulangan dengan mudah kerana pesakit hanya perlu memandu kereta atau motosikal ke kaunter tersebut di Pusat Sejahtera.

pandu2

“Perkhidmatan ini adalah sangat bertepatan dan seiring dengan seruan kerajaan agar semua pihak mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan 3C iaitu Crowded Places (Kawasan yang Sesak), Confined Spaces (Kawasan yang Sempit), dan Close Conversation (Bertutur dengan Jarak yang Dekat),” ujarnya.

Beliau berharap dengan kemudahan tersebut, Pusat Sejahtera dapat memberikan perkhidmatan yang lebih kondusif dan efektif kepada pesakit yang memilih untuk menggunakan kemudahan itu, yang dijangkakan merangkumi 10%-20% daripada keseluruhan jumlah pesakit yang hadir mendapatkan rawatan di Pusat Sejahtera. 

pandu5

Selain itu, Pusat Sejahtera turut menerima sumbangan dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dalam merealisasikan idea dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Kampus Kejuruteraan USM untuk merekacipta Kubikel Isolasi bagi rawatan pesakit yang bergejala Acute Respiratory Infection (ARI) dan Influenza Like Illness (ILI) seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Saya difahamkan bahawa Kubikel Isolasi ini berupaya memberi rawatan kepada lebih kurang 20-30 pesakit bergejala yang hadir di Pusat Sejahtera setiap hari,” ujarnya.

“Terima kasih dirakamkan kepada Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed kerana telah menaja sepenuhnya pembinaan Kubikel Isolasi ini, dan tahniah kepada Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Baharuddin Abdullah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, yang mengetuai pasukan yang merealisasikan pembinaan kubikel ini,” katanya lagi.  

pandu68

Musa turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM yang telah mengambil inisiatif untuk menyumbangkan dana kewangan untuk mendapatkan bahan asas (materials) dalam menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan perwira barisan hadapan (frontliners) dari Pusat Sejahtera USM dalam membendung wabak Covid-19.

“Pihak universiti juga amat menghargai kerjasama, sokongan padu dan sumbangan tenaga dan masa ahli-ahli Kelab Jasa Budi USM serta pasangan mereka yang sudi menjadi sukarelawan bagi menjahitkan dan menghasilkan PPE tersebut,” ujarnya.

Majlis telah dijalankan dengan pengehadan tetamu jemputan serta mematuhi amalan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengelak wabak Covid-19.

Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Dr. Mohd. Fadzil Ain; Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid; dan Sathu Raman A/L Subramaniam, Setiausaha Kelab Jasa Budi yang mewakili Yang Dipertua Kelab Jasa Budi USM.

Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1422

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024