USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADILAH PENGGUNA BIJAK, ELAK PILIH KOSMETIK MENGANDUNGI BAHAN BERBAHAYA

KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Ogos 2020 – Kosmetik merangkumi pelbagai produk yang digunakan untuk merawat dan mengubah wajah atau badan termasuk penjagaan kulit dan diri.

Terdapat tiga klasifikasi kosmetik iaitu barang bilas seperti sabun dan krim muka, barang-barang yang ditinggalkan seperti krim badan dan pelindung matahari serta solekan seperti gincu dan cat kuku.

Namun begitu, produk kosmetik yang melibatkan penjagaan kulit muka merupakan permintaan paling tinggi oleh pengguna pada masa kini.

Menurut Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar, pengguna harus bijak memilih produk kosmetik yang tidak mengandungi bahan berbahaya dan selamat digunakan.

WhatsApp_Image_2020-08-10_at_12.52.09.jpeg

“Terdapat pelbagai bahan berbahaya dicampur dalam kosmetik yang tidak berdaftar terutamanya produk yang diseludup masuk dari negara jiran banyak mengandungi merkuri, plumbum, arsenik dan sianida penyebab berlakunya alahan dan iritasi kulit.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan berkenaan kosmetik di pasaran dikesan mengandungi racun berjadual seperti asid azelaik, hidrokuinon dan tretinoin, yang mana kesemua racun tersebut adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Pengguna juga perlu tahu campuran logam berat turut menyebabkan masalah saraf, ketaran, gangguan ingatan dan emosi, masalah pendengaran, penglihatan serta buah pinggang,” katanya ketika ditemubual bersama stesen radio tempatan, di sini hari ini.

Jelas Siti Fatimah, secara umum, bahan semulajadi merupakan bahan yang berasaskan sumber tumbuhan, haiwan atau mineral tanpa mengalami sebarang proses kimia atau tidak mengandungi sebarang sebatian kimia dan biasanya ditambah ke dalam suatu produk kosmetik dan berfungsi sebagai bahan utama dalam produk tersebut.

"Bahan sintetik pula merupakan bahan yang dihasilkan melalui tindak balas kimia, atau bahan yang berasal daripada sumber semulajadi yang telah diubah secara kimia dan yang selalu menjadi isu adalah merkuri serta hidrokuinon.

Tambah beliau, hidrokuinon adalah bahan yang sering digunakan pada krim pemutih kulit, krim merawat pigmentasi seperti jeragat dan pelekat kuku, dan ianya boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit dan kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga menghalang proses pigmentasi (depigmentation) dan mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya yang mana ia boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

"Terdapat alternatif lain yang lebih selamat untuk menggantikan produk pemutihan atau produk rawatan jeragat iaitu menggunakan kaedah laser atau kaedah ‘chemical peel’ dengan mengelupaskan kulit lapisan demi lapisan untuk membantu memudarkan jeragat," katanya.

Beliau berkata, pencegahan pigmentasi turut boleh dilakukan dengan penggunaan ‘sunscreen’ setiap kali keluar rumah serta pengambilan makanan tambahan yang mengandungi 'Carotenoids' atau 'Glutathione'.

"Antara tip yang disarankan kepada pengguna untuk penjagaan kulit adalah jangan terlalu lama terdedah kepada pancaran matahari terutamanya pada jam 10 pagi hingga 2 petang kerana ia mampu menyebabkan ‘photo-ageing’ iaitu kedutan halus.

"Jika melakukan aktiviti luar rumah, amalkan pemakaian 'sunscreen' sekurang-kurangnya yang mengandungi ‘Sun Protection Factor’ (SPF) 30 dan pemakanan yang seimbang akan membekalkan nutrisi yang cukup pada kulit selain tidur yang cukup dan elakkan merokok," jelasnya.

Siti Fatimah turut menasihatkan orang ramai agar ‘back-to-basics’ iaitu amalkan pencucian wajah dengan air suam atau pencuci wajah tanpa alkohol dan pewangi dua kali sehari selain menggunakan pelembab dan 'sunscreen' apabila melakukan aktiviti luar rumah.

Seterusnya orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang sesuatu produk yang ingin digunakan secara ‘online’ menerusi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di alamat https://www.npra.gov.my .

“Jika produk tersebut berdaftar dengan agensi ini maka ia selamat digunakan,” pesan beliau sebelum menamatkan sesi temubual.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya’acob

  • Created on .
  • Hits: 1409

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024