PENGALAMAN PROFESOR USM DIIKTIRAF: KEJAYAAN BERPOTENSI KUKUHKAN KOLABORASI ANTARA UNIVERSITI
PULAU PINANG, 29 Mac 2013 – Pengalaman dan kepakaran yang ada pada akademia Universiti Sains Malaysia (USM) kian diiktiraf apabila seorang lagi tokoh pendidik berpengalaman telah dipilih sebagai Naib Canselor (NC).
Setelah Prof. Dato’ Asma Ismail dipilih menjadi NC Universiti Sains Islam (USIM), kini Profesor Morshidi Sirat yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-57 pada 3 Mac lalu pula dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mulai 1 April ini.
NC USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, pemilihan Morshidi sebagai NC secara tidak langsung memperlihatkan usaha USM untuk memberi sumbangan yang signifikan dalam bidang pengajian tinggi semakin membuahkan hasil.
Katanya, pertambahan bilangan warga USM yang telah mengorak langkah meneraju institusi pengajian tinggi tanah air diharap dapat menjadi satu asas dalam mengukuhkan kolaborasi antara universiti untuk manfaat bidang ilmu.
``Universiti amat berbangga dengan pencapaian tokoh-tokoh akademik kita yang telah terpilih meneraju beberapa buah universiti tanah air dan dalam masa yang sama mendoakan mereka dapat memberikan yang terbaik untuk memimpin institusi masing-masing.
``Kejayaan tokoh-tokoh ini juga turut berpotensi menyumbangkan satu jaringan kerjasama yang lebih jitu di antara institusi termasuk dalam bidang pembangunan dan penyelidikan, penerbitan dan sebagainya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perjumpaan khas meraikan kejayaan Morshidi bersama pegawai-pegawai utama universiti dan kakitangan USM di sini hari ini.
Omar juga berharap kejayaan tersebut akan turut menjadi sumber inspirasi buat semua warga USM untuk sama-sama menggembleng usaha bagi memberikan yang terbaik untuk melonjakkan pencapaian dan masa depan pengajian tinggi tanah air.
Dalam pada itu, Morshidi pula berkata, pemilihannya sebagai NC UNIMAS diterima dengan hati terbuka dan berharap amanah tersebut dapat dipikul dengan sebaik mungkin. Katanya, pengalamannya menabur keringat bersama USM akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha beliau memberikan khidmat terbaik sebagai peneraju universiti di tempat kelahirannya itu.
``USM akan terus terpahat dalam hati kerana di sinilah saya mengembangkan kerjaya sebagai pendidik dan memperoleh pengalaman terbaik dalam hidup,’’ ujarnya sambil menyifatkan pengalaman berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi akan turut dimanfaatkan dalam kerjaya NC kelak.
Profesor dalam bidang Geografi di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan itu sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (16 Februari 2011 sehingga 2 Mac 2013). Anak kelahiran Sarikei, Sarawak tersebut mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Abang Hj. Matahir dan kemudian menyambung pengajian di Sacred Heart School, Sibu, Sarawak dan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri.
- Created on .
- Hits: 2422