LEMON MEYER: DARI MAKMAL KE LADANG
PULAU PINANG, 3 Ogos 2020 - Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh saintis tumbuh-tumbuhan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Chew Bee Lynn telah berjaya membangunkan kaedah/teknik kultur tisu untuk menghasilkan stok pokok lemon Meyer yang sihat serta sesuai untuk ditanam di Malaysia dan kawasan tropika secara komersial.
Menurut Chew, buat masa ini, tanaman lemon Meyer yang terdapat di Malaysia yang diusahakan secara komersial di ladang sangat terhad kerana stok pokok diperoleh secara kaedah konvensional (bentuk cantuman dan keratan batang) yang biasanya lambat serta menghasilkan bekalan yang tidak konsisten.
“Sebaliknya teknologi kultur tisu menawarkan kaedah alternatif yang lebih terjamin dan efisien untuk penggandaan stok tanaman secara besar-besaran dalam menghasilkan klon yang banyak dari pokok induk berkualiti,” kata Chew, pakar dalam kultur tisu tumbuh-tumbuhan.
Tambahnya lagi, “Kami telah membuktikan bahawa anak pokok lemon hasil kultur tisu mampu menghasilkan buah dalam tempoh 6 hingga 8 bulan selepas ditanam di luar makmal, berbanding dengan antara 6 hingga 15 tahun bagi anak pokok yang ditanam daripada biji, selain bergantung kepada keadaan pertumbuhan.”
Beliau juga berkata, percubaan tersebut adalah usaha pertama dan yang satu-satunya dilaksanakan di Malaysia pada pokok lemon Meyer.
Apabila ditanya mengapa lemon Meyer dipilih sebagai tanaman untuk dimajukan secara teknik kultur tisu dan bukan tanaman lain, Chew menerangkan bahawa sebilangan besar buah lemon yang terdapat di pasaran tempatan diimport dari luar negara kerana usaha penanaman lemon secara kasarnya tidak menguntungkan di Malaysia disebabkan pelbagai faktor persekitaran dan ketersediaan stok tanaman lemon yang rendah untuk diusahakan secara perladangan komersial.
“Tambahan pula, lemon Meyer ini semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan kerana khasiat kesihatannya yang tinggi dan rasanya yang lebih manis jika dibandingkan dengan lemon biasa yang diimport,” katanya.
Dari hasil kejayaan penghasilan buah tin (Ficus carica) melalui kultur tisu tumbuhan sebelum ini oleh beliau dan pasukannya, Chew berkata ini telah memberi keyakinan kepada mereka untuk mencuba teknik yang sama pada buah lemon Meyer.
“Adalah diharapkan kejayaan dari inisiatif ini akan membuka potensi dalam pengusahaan dan pembukaan ladang lemon yang konsisten dari segi pertumbuhan dan hasil tanaman, sesuai untuk pertanian komersial dan bekalan ke rantaian pasaran tempatan.
“Ini sekaligus akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda untuk menjadi penyelidik, pembekal stok anak pokok, pengusaha ladang malah usahawan dalam industri tanaman buah lemon ini,” kata Chew dengan penuh harapan.
Lemon Meyer, secara saintifiknys dikenali sebagai Citrus x meyeri, adalah kacukan limau lemon dan oren manis (Citrus limon x Citrus sinensis) asli dari China.
Buahnya mengandungi kandungan vitamin C, folat dan fitonutrien yang dikenali sebagai flavanon yang tinggi dan memiliki ciri-ciri antioksidan dan antikanser.
Kultur tisu dilihat sebagai teknologi penting yang mampu merevolusikan bidang pertanian khususnya di negara-negara membangun berasaskan pertanian kerana beberapa kelebihannya, seperti ia dapat menghasilkan anak pokok yang bebas daripada penyakit, berkualiti tinggi dengan tumbesaran yang sekata, kesediaan anak pokok sepanjang masa, kematangan pokok lebih awal dan penghasilan tuaian yang lebih cepat, berbanding dengan anak pokok dari kaedah tradisional.
Teknologi ini sudah wujud lebih daripada 30 tahun, dan ia banyak dipraktikkan dalam pengeluaran buah nenas, pisang, orkid, terung, ubi kayu, ubi keladi, ubi keledek, tomato dan beberapa tanaman lain untuk tujuan komersial di Asia Tenggara dan Afrika.
Sumber: Dr. Chew Bee Lynn/Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1871