MASJID AL-MALIK KHALID USM TERUSKAN TRADISI IBADAH KORBAN
PULAU PINANG, 31 Julai 2020 – Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan tradisi ibadah korban dalam suasana pandemik Covid-19.
Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman, walaupun jumlah korban tahun ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya 13 ekor lembu dan 15 ekor kambing yang telah dikorbankan, namun tuntutan dan syiar ibadah korban tetap dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.
Kerja-kerja pelaksanaan ibadah korban bermula sebaik selesai sembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha yang turut dijalankan dengan pematuhan langkah pencegahan dan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Dalam suasana norma baharu ibadah korban pada kali ini, orang awam tidak dibenarkan berada di lokasi penyembelihan dilaksanakan malah lokasi ibadah korban dikawal ketat oleh pihak Jabatan Keselamatan USM.
“Hanya staf Pusat Islam dan sukarelawan berdaftar yang terdiri daripada staf USM dan anak kariah sahaja yang dibenarkan masuk,” kata Shukri, sambil menambah kesemua mereka telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Pusat Sejahtera USM.
Bagi melancarkan agihan daging korban, ia telah dilaksanakan sebaik selesai sembahyang fardu Jumaat.
Tambah Shukri, seramai 300 keluarga miskin dalam kalangan kariah Masjid Al-Malik Khalid telah mendapat agihan daging korban sebanyak 1 kilogram daging setiap keluarga.
“Selain itu agihan daging korban turut diberikan kepada pelajar antarabangsa dan warga USM,” katanya.
Teks: Zamzami Rasidi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 921