USM-NCIA SUMBANG 300 TABLET BUAT CALON SPM TERPILIH KATEGORI B40 DARI 8 BUAH SEKOLAH SEKITAR PULAU PINANG
PULAU PINANG, 25 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan jaringan dan manfaat kepakaran buat komuniti melalui kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (Northern Corridor Implementation Authority, NCIA) apabila menyumbangkan 300 buah tablet kepada pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kategori B40 dari 8 buah sekolah di Pulau Pinang.
USAINS Group Holding Sdn. Bhd. (USAINS) bersama USM telah diberi mandat oleh NCIA untuk melaksanakan program yang dinamakan empowerNCER: Akademik Pulau Pinang dengan peruntukan sebanyak RM900,000 bertujuan bagi mengenalpasti, meningkat dan memperkasakan keperluan pembelajaran yang lebih sempurna melalui program akademik yang disediakan oleh USM buat pelajar calon SPM kategori B40.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menjadi tanggungjawab USM untuk sentiasa bersedia menyumbang dalam apa juga bentuk kepakaran yang dimiliki bukan sahaja untuk pembangunan pendidikan di negara ini, malah mengenalpasti ruang dan peluang membantu komuniti dari akar umbi demi kesejahteraan masa depan negara.
“Inilah salah satu tanggungjawab besar digalas oleh USM bagi memastikan golongan memerlukan di luar sana sentiasa diberi peluang memperoleh pendidikan yang sempurna agar mereka mampu menjadi insan yang berpotensi sebagai pelapis pemimpin negara di masa hadapan,” katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor USM bagi merasmikan majlis seterusnya menyerahkan tablet buat pelajar.
Tambah beliau, segala hasil kajian dan hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh USM tidak akan memberi sebarang impak sekiranya USM tidak berkongsi dan menyampaikan apa yang dimiliki kepada golongan di luar sama ada industri atau masyarakat.
“Banyak penyelidikan dilaksanakan di USM tetapi apa kesannya pada masyarakat di luar sana; kita ada kemahiran, kita ada kepakaran, kita ada rakan-rakan industri dan korporat yang membantu menjayakan program, tetapi yang paling penting ialah bagaimana untuk kita sampaikan kepada golongan yang layak menerima secara berkesan,” jelas beliau lagi.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sijil kolaborasi kepada Pengetua-Pengetua dari lapan buah sekolah terlibat sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang akan bersama-sama dengan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan sebagai hub utama bagi penyampaian modul dan panduan pembelajaran oleh para pensyarah buat calon-calon SPM tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Korporat, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), mewakili Ketua Eksekutif NCIA, Zuhairi Mohmad berkata, program itu telah mula dilaksanakan pada Disember 2019, melibatkan sejumlah 2,250 pelajar dari 15 buah daerah di serata NCER termasuk yang terkini, 300 orang pelajar dari dua daerah di negeri Pulau Pinang iaitu Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Zuhairi berkata, penyerahan tablet itu adalah sebagai usaha USM-NCIA memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus dilaksanakan secara lebih menarik dan efektif buat pelajar dengan modul yang telah siap dimuatnaik dalam tablet-tablet tersebut.
Tambahnya, komponen empowerNCER-Akademik itu dirangka khusus bagi para pelajar untuk memperkasakan pencapaian akademik dan memantapkan sahsiah pelajar, ke arah pembangunan holistik demi melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan mempunyai daya juang dan daya saing yang tinggi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Selebriti Pengacara TV3 yang juga Alumni USM dlm bidang Komunikasi (2003), merangkap Ikon Program EmpowerNCER: Akademik USM-NCER, Ahmad Fedtri Yahya yang menyampaikan ucapan dan berkongsi pengalaman tentang zaman pengajiannya di USM dan kerjayanya selama 17 tahun di syarikat penyiaran TV3.
Yang turut hadir adalah Pengarah Urusan USAINS merangkap Penasihat Bersama Program, Farid Wajidi Mat Yusoff; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM merangkap Ketua Projek Program, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail; Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM merangkap Ketua Projek Bersama Program, Tuan Syed Yusof Syed Kechik; dan Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Hjh. Azizah Paijo.
Majlis penyerahan tablet berjalan dengan lancar termasuk pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan dengan pemeriksaan suhu badan di bawah 37.5 darjah celsius, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penggunaan hand sanitizer sebelum memasuki dewan serta penjarakan kedudukan tempat duduk di dalam dewan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa, Shahnizam Ab Rahim & Mohamad Zaidi Jaini
- Created on .
- Hits: 1337