SIPC: PLATFORM RUJUKAN ALTERNATIF COVID-19
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Julai 2020 – Sumber Informasi Perubatan COVID-19 (SIPC) Universiti Sains Malaysia (USM) - KPJ atau dikenali sebagai SIPC USM-KPJ dibangunkan sebagai platform mengumpul maklumat kesihatan daripada segenap aspek dan menyebarluaskan informasi kepada orang awam serta petugas kesihatan berhubung pandemik COVID-19.
Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, SIPC USM-KPJ ialah rancangan kerjasama USM dan KPJ dalam kepelbagaian ilmu melalui kaedah gabung jalin kepakaran kedua-dua institusi untuk manfaat bersama.
“SIPC USM-KPJ digerakkan melalui laman sesawang yang menyediakan ruang bagi penyaluran maklumat yang tepat, sahih dan pantas khususnya menerusi artikel, infografik, video, poster dan lain-lain yang berkaitan situasi semasa pandemik COVID-19.
“Kandungan yang dimuat naik dalam laman sesawang SIPC USM-KPJ disasarkan menjadi rujukan alternatif tentang wabak COVID-19 kepada pengamal perubatan, institusi dan orang awam,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Laman Sesawang SIPC USM-KPJ dan Pusat Sumber Informasi Risiko dan Media COVID-19, hari ini.
Sukari yang juga Pengarah Hospital USM berkata, bagi memastikan maklumat yang disalurkan adalah tepat dan mencapai golongan sasaran, semua artikel yang ditulis akan dinilai oleh sekurang-kurangnya dua orang penilai pakar bidang sebelum ia diterbitkan.
“Penubuhan SIPC ini menunjukkan wujudnya jaringan kerjasama yang kukuh di antara pihak swasta dan institusi pendidikan tinggi di negara ini. Kerjasama sebegini boleh dikembangkan dengan lebih produktif dalam bidang lain contohnya penyelidikan bersama.
“SIPC ini juga akan digunakan sebagai salah satu wadah untuk pensyarah USM menyalurkan ilmu kepakaran masing-masing dalam bentuk penulisan seterusnya menggalakkan penerbitan demi meningkatkan prestasi universiti,” jelasnya lagi.
Tambah Sukari, USM amat mengalu-alukan perkongsian artikel berkaitan COVID-19 sama ada kategori umum atau perubatan untuk dimuat naik dan dikongsikan dalam dalam laman sesawang SIPC USM-KPJ.
“Sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat menyumbang tenaga dan kepakaran terutama jawatankuasa SIPC, pasukan Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) Kampus Kesihatan dan jawatankuasa kecil ‘COVID-19 Response and Readiness Centre’ kerana sentiasa mengisi laman sesawang ini dengan ilmu yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Hospital KPJ Perdana, Dr. Mohamad Hamzah pula berkata, SIPC USM-KPJ dibangunkan ekoran kurangnya maklumat dan kecelaruan maklum balas untuk membantu barisan hadapan menangani pandemik COVID-19.
"Maklumat yang samar membawa kesulitan kepada seorang doktor apatah lagi pentadbir hospital tanpa latar belakang perubatan untuk membuat dasar dan menyalurkan arahan yang tepat berhubung wabak COVID-19.
"Bayangkan kalau semua hospital bertindak berbeza mengikut maklumat yang samar ini, jika maklumat itu tidak tepat, hal ini boleh menyebabkan pembaziran aset yang terhad atau membawa risiko tinggi kepada barisan hadapan yang berdepan dengan pesakit COVID-19," katanya.
Menurut Mohamad, kewujudan SIPC adalah bertepatan sebagai medan pengumpulan maklumat tentang wabak yang melanda negara kini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ, Zawari Abdullah dan ahli jawatankuasa SIPC USM.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1083