USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSEMBAHAN MUZIK ISTIMEWA TANDA PENGHARGAAN BUAT FRONTLINERS

USM PULAU PINANG, 18 Julai 2020 – Tiga jabatan Universiti Sains Malaysia (USM) berganding bahu pada 15 Julai lalu untuk menganjurkan persembahan muzik/nyanyian istimewa yang dibawa secara ‘live’ di laman rasmi Facebook USM.  

Program tersebut yang dipanggil “COVID-19 FRONTLINERS SPECIAL with DB Band & Friends” diadakan sebagai tanda menzahirkan penghargaan buat semua petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus memastikan penularan wabak pandemik koronavirus Covid-19 dikawal dengan baik.

db_1.jpg

Tiga jabatan USM yang menjadi penganjur bersama adalah Dewan Budaya, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) serta Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM).

Menurut Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli, program yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memberikan apresiasi atau penghargaan kepada setiap frontliner yang telah berjuang dengan gigih untuk negara secara amnya dan membantu USM secara khususnya dalam menjayakan operasi melalui Bilik Gerakan (Nerve Centre) Covid-19 USM semasa krisis pandemik Covid-19.

“Di samping itu juga, ia diharap menyediakan medan dan ruang untuk menampilkan bakat-bakat terpendam dalam bidang nyanyian dalam kalangan frontliners.

“Antara frontliners yang terlibat dalam persembahan adalah dari Pusat Sejahtera USM, Jabatan Keselamatan USM, Nerve Centre USM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (Pulau Pinang) dan jururawat dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM,” katanya.  

db_2.jpg

Program hampir sejam yang dihoskan oleh Pegawai Kebudayaan (Unit Persembahan, Promosi dan Pengantarabangsaan) Dewan Budaya, Andy Siti Nurhidayah Rahim turut dimeriahkan dengan penampilan khas Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

db_3.jpg

Naib Canselor yang bermain dram disertai Pengarah MPRC, Dr. Ahmad Zulman Mohd Zain bermain gitar bass mempersembahkan sebuah lagu bersama DB Band yang hampir kesemua ahli pemuziknya merupakan alumni USM atau/dan staf USM, yang mana ini juga sesuatu yang amat membanggakan.    

Pada akhir program, Naib Canselor turut berdiri bersama semua yang berada di dalam bilik persembahan memberikan tepukan sebagai tanda apresiasi kepada wira-wira yang berada di barisan hadapan menangani ancaman wabak Covid-19.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1159

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024