DEKATI PELAJAR DAN KREATIF DALAM TINDAKAN, KATA NC
PULAU PINANG, 25 Mac 2013 - Para pensyarah dan warga staf universiti sewajarnya sentiasa mendekati pelajar dan sentiasa kreatif dalam membawa universiti ke tahap yang tinggi.
“Kita dapat melihat pelbagai kejayaan yang dicapai oleh pelajar pada masa ini yang berjaya melonjakkan nama universiti, sama ada dalam kalangan pelajar ijazah pertama mahu pun ijazah tinggi yang seharusnya disokong dan didokong sama oleh seluruh warga terutamanya para pensyarah, para pegawai mahu pun staf sokongan,” kata Profesor Dato’ Omar Osman ketika bertemu warga Pusat Pengajian Sains Farmasi hari ini.
Katanya lagi, setiap pihak dalam universiti perlu meletakkan siswa-siswi sebagai keutamaan kerana keupayaan mereka sebagai anak-anak muda yang dapat menggerakkan pelbagai aktiviti termasuk yang dapat menjulang nama universiti di persada dunia apatah lagi para mahasiswa pula sentiasa mengharapkan kepimpinan dari dalam kalangan para pensyarah dan warga lain untuk membantu merealisasikan impian dan kekuatan mereka yang ada.
Naib Canselor berkata demikian dengan memetik kejayaan seorang pelajar USM, Ng Cheon Yuen yang dipilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Hitachi Young Leaders Initiative (HYLI) bersama 3 orang wakil dalam kalangan mahasiswa universiti Malaysia untuk bertanding pada peringkat Asia di Bangkok Julai ini.
“Kita perlu lebih terbuka, kreatif dan inovatif dalam melonjakkan nama universiti dan pusat pengajian termasuk menerokai peluang pengkomersilan menggunakan kaedah yang berbeza dari yang sedia ada dengan mencari model baharu untuk membenarkan para ilmuan melakukan perniagaan walaupun hakikatnya universiti harus memberikan tumpuan utama sebagai institusi ilmu yang dapat menerokainya dengan lebih jauh untuk memberikan impak berguna kepada masyarakat dan negara serta relevan kepada persekitarannya,” kata Omar lagi.
Tambahnya lagi, setiap pihak perlu bersinergi untuk membangunkan kekuatan yang ada dalam meneruskan kelangsungan universiti dan bersaing dalam konteks global, bukan hanya untuk menggerakkan satu jabatan atau pusat pengajian.
Lebih 60 orang warga Pusat Pengajian Sains Farmasi hadir mengikuti amanat Naib Canselor dan berpeluang berdialog dengan beliau. Pusat Pengajian Sains Farmasi mempunyai 49 orang pensyarah dan 35 orang pegawai dan staf teknikal.
Terdahulu Naib Canselor diberikan taklimat oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Munavvar Zubaid Abdul Sattar tentang perkembangan Pusat Pengajian yang merupakan yang pertama menawarkan pengajian Sains Farmasi di Malaysia sejak tahun 1972 yang merupakan ahli Association of American College of Pharmacy (AACP) dan Asian Association of Schools of Pharmacy (AASP) serta diiktiraf oleh Pharmacy Board of Singapore.
Pusat Pengajian Sains Farmasi telah mengeluarkan seramai 3,300 orang siswazah dengan kira-kira 600 orang pelajar ijazah pertama dan kira-kira 300 orang calon ijazah tinggi yang datangnya dari 18 buah negara antaranya Pakistan, Saudi Arabia, India, Indonesia, Iran, Iraq, Syria, Mesir dan Yemen selain dari Malaysia.
Omar juga turut melawat beberapa buah makmal dan turut merasmikan Makmal Penyelidikan Fisiologi Kardiovaskular dan Renal yang terdapat di sini. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: PP Sains Farmasi
- Created on .
- Hits: 2459