USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

30 TAHUN CURAH BAKTI MASAK UNTUK PESAKIT HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Julai 2020 – Seawal jam 6.30 pagi setiap hari sejak 30 tahun lalu, beliau memulakan tugas dengan memotong bahan-bahan untuk menyediakan hidangan bagi pesakit-pesakit di dalam wad.  

Kini, susuk tubuh itu bukan lagi figura asing di Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Mengimbau kenangan hari pertama beliau melangkah kaki memasuki pagar Hospital USM, hati terasa berat dan bungkam.  

Diidamkan bekerja dengan fail dan mesin taip namun rupanya senduk serta periuk belanga yang menemani beliau sepanjang hari. Perlahan-lahan beliau memujuk hati sendiri, yakin dengan rezeki dan tawaran pekerjaan yang diberi.  

Mat Rohim Hussin, 56, dari Kampung Geting, Tumpat merupakan tukang masak paling senior di unit tersebut yang kini menjadi rujukan staf-staf lain dalam menyediakan pelbagai menu sihat kepada pesakit yang mendapat rawatan di Hospital USM mengikut jadual edaran yang telah ditetapkan.

humsi.jpg

“Semasa saya masuk kerja tahun 1990 dulu, unit ini kecil sahaja dan kami memasak pun menggunakan kawah – masak nasi, masak lauk semua hanya gunakan kawah sehinggalah tahun 2005, sedikit demi sedikit peralatan dapur ditukar dengan alatan yang lebih moden dan canggih seiring perkembangan hospital dan Kampus Kesihatan.

“Saya masih ingat lagi, menu pertama yang saya masak adalah kari ikan menggunakan kawah dan apabila bertukar kepada peralatan yang baharu, sedikit ralat kerana terpaksa belajar menggunakan alatan tersebut sehingga saya pernah disambar api semasa menyalakan dapur.  Mujurlah tiada sebarang kecederaan dan lama-kelamaan saya mula selesa dengan peralatan tersebut,” ujarnya.

Mat Rohim pernah menyertai pertandingan ‘Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja’ di Sarawak pada tahun 2005 dan mendapat tempat ketiga dalam kategori Pengurusan yang mana mempertaruhkan tajuk penyediaan makanan pesakit dengan lima menu iaitu pedas, tidak pedas, bakar, sup dan nasi air.

WhatsApp_Image_2020-07-15_at_18.12.51_1.jpeg

Pengalaman itu menjadi inspirasi kepada beliau untuk terus komited dengan kerjaya dan amanah yang dipikul.

Oleh kerana itu jugalah, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali selama tempoh berkhidmat.

Sepanjang bergelar warga USM, beliau tidak terkecuali terlibat dalam beberapa pengurusan risiko dan bencana yang melanda negeri Kelantan khususnya banjir besar pada tahun 2014.  

Bercerita tentang situasi pada ketika itu, beliau dan rakan-rakan perlu memasak dalam kuantiti yang lebih banyak kerana pertambahan pesakit dari hospital-hospital yang terjejas akibat banjir bahkan turut menyediakan makanan kepada semua petugas serta sukarelawan yang berkampung di Kampus Kesihatan sepanjang tempoh bencana untuk membantu pesakit serta mangsa banjir.

Berbaki lebih kurang empat tahun sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, bapa kepada enam orang cahaya mata ini bercadang untuk membesarkan perniagaan mi celup yang sekarang ini diuruskan oleh isteri tersayang yang pernah bekerja sebagai staf kontrak universiti suatu ketika dulu.

Berpegang kepada prinsip ‘bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu’, beliau menasihatkan rakan-rakan lain untuk terus komited dengan kerjaya serta dapat meningkatkan lagi mutu serta hasil masakan yang lebih baik agar nama unit amnya dan Hospital USM khasnya terus mendapat tempat di hati para pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di Hospital USM.

“Apa sahaja yang kita lakukan, biarlah ikhlas kerana air tangan kita sedikit sebanyak menyumbang kepada proses pemulihan pesakit dan kerja sebegini bukan semua orang boleh buat.  

WhatsApp_Image_2020-07-15_at_18.12.51.jpeg

"Keikhlasan itu kita tidak nampak tetapi ia akan kembali semula kepada kita dalam pelbagai bentuk,” katanya mengakhiri perbualan.

Sebagai rekod, UPD yang ditubuhkan pada tahun 1983 pada awalnya dikenali sebagai Unit Pemakanan dan ditukarkan kepada namanya sekarang UPD pada tahun 2000.

Kini UPD mempunyai 100 orang staf yang bertugas di beberapa seksyen iaitu Perkhidmatan Dietetik Klinikal, Perkhidmatan Penyediaan dan Sajian Makanan, Perkhidmatan Penyediaan Makanan Pesakit dan Perkhidmatan Sajian Makanan Pesakit.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto:  Ebrahim Abd Manan & Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 891

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024