USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRP: KAEDAH RAWATAN BAHARU SAKIT LUTUT DI HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Julai 2020 – Berita baik buat rakyat negeri Kelantan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) terus membantu masyarakat dengan menawarkan perkhidmatan baharu untuk mereka yang menderita sakit lutut iaitu terapi ‘Platelet Rich Plasma’ (PRP).

PRP adalah komponen darah mengandungi cecair yang boleh menggalakkan pertumbuhan sel induk (growth factor) dan tergolong dalam ‘regenerative medicine’ atau dengan kata lain menghidupkan kembali tisu-tisu yang telah rosak atau cedera.

Menurut Pakar Rawatan Kesakitan, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Kamaruddin Ibrahim, secara umumnya, terapi PRP digunakan untuk merawat kecederaan atau kesakitan yang melibatkan sendi-sendi, fascia dan tendon-tendon.

WhatsApp_Image_2020-07-09_at_11.34.39.jpeg

“Tisu-tisu yang rosak biasanya adalah tulang rawan seperti yang terdapat dalam sakit lutut (Osteoarthritis), fascia dalam sakit tapak kaki (Plantar Fasciitis) dan tendon dalam sakit bahu (Rotator Cuff Tendinopathy).

“PRP berfungsi untuk membaiki semula tisu yang tercedera dalam lutut pesakit dan mereka yang ingin melakukan prosedur terapi ini perlu mendapatkan nasihat daripada doktor pakar bagi menentukan berapa kali pesakit perlu menjalani rawatan tersebut,” ujarnya.

Tambah Kamaruddin, terdapat beberapa peringkat bagi prosedur terapi PRP seperti suntikan sebulan sekali selama tiga bulan atau enam bulan berturut-turut atas nasihat pakar yang akan menentukan berdasarkan penyembuhan yang dirasai oleh pesakit itu sendiri.

“Hospital USM mempunyai doktor pakar yang mendalami ilmu PRP di luar negara dan mempraktikkan rawatan ini sejak tahun 2018 dan segala peralatan yang diperlukan untuk menyediakan PRP telah siap dan sedia untuk beroperasi.

“Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan PRP boleh menghubungi Klinik Rawatan Kesakitan (Pain Clinic) Hospital USM di talian 09-7673866 untuk mendapatkan tarikh dan masa temujanji serta maklmat lanjut berhubung perkhidmatan yang ditawarkan,” jelasnya lagi.

Kamaruddin berkata, caj rawatan yang akan dikenakan untuk suntikan PRP ini adalah lebih murah berbanding kadar caj PRP yang dikenakan perkhidmatan kesihatan swasta yang lain.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 1740

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024