USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MURID B40, INISIATIF USM BANTU PELAJAR MISKIN TERCICIR

PULAU PINANG, 8 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda pembangunan modal insan di peringkat akar umbi apabila sejumlah 400 orang murid sekolah (Tahun 6 dan SPM) dalam kalangan keluarga miskin kategori B40 dipilih menyertai Program Pembangunan Pendidikan Murid B40.

Program di bawah seliaan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan beberapa kariah masjid sekitar USM ini bertujuan meneruskan legasi pembangunan pendidikan dalam pelbagai bidang buat murid B40, sejajar agenda pembangunan modal insan oleh USM demi manfaat rakyat.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata program ini cukup bermakna buat USM yang secara dasarnya amat menitikberatkan isu pembangunan pendidikan buat pelajar mahupun peringkat rendah dan menengah termasuklah memberikan sokongan sepenuhnya kepada mereka ini untuk menimba ilmu dalam keadaan suasana yang lebih baik.

islam.jpg

“Saya difahamkan program ini melibatkan 400 orang murid, 400 orang ibu bapa dan 50 orang guru terpilih dan ia merupakan permulaan yang baik kerana merangkumi keseluruhan pembangunan akademik termasuklah pembangunan sahsiah, keibubapaan dan profesionalisme guru,” katanya ketika melancarkan program tersebut di Bilik Persidangan Canselori, USM di sini.

Tambah Faisal Rafiq, murid sekolah terpilih ini amat beruntung kerana program ini dikendalikan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM dengan kepakaran pensyarahnya dan pelajar-pelajar PPIP yang dibimbing oleh Dekan PPIP, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, selaku Ketua Projek.

"Kita sedia maklum bilangan keluarga kategori B40 kini semakin meningkat di negara ini, malah di USM juga 68 peratus daripada jumlah pelajar keseluruhan adalah dari kategori B40, tetapi majoriti pelajar dari kategori inilah yang cemerlang dalam pendidikan, dan perkara ini harus dititikberatkan oleh semua agensi terlibat agar kita terus fokus mendidik mereka dengan nilai terbaik supaya mereka mampu menjadi pemimpin berjaya di masa hadapan," jelasnya lagi.

WhatsApp_Image_2020-07-09_at_11.30.10.jpeg

Beliau turut berterima kasih kepada ICU JPM Pulau Pinang, empat Kariah masjid terlibat iaitu Masjid Jamek Sg. Gelugor, Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, Masjid Jamek Sg. Nibong Besar dan Masjid Al-Bukhary yang bekerjasama dengan USM bagi menjayakan program ini, dan menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengerusi Kariah keempat-empat masjid terbabit. 

Naib Canselor turut mengharapkan agar program kerjasama pintar USM-ICU JPM-komuniti ini dapat dipertingkatkan lagi, malah diperluaskan untuk melibatkan lebih banyak masjid dan sekolah di sekitar Pulau Pinang, serta mendapat bantuan dan penajaan berterusan daripada pihak ICU JPM pada masa yang akan datang.

Pada majlis yang sama, wakil Pengerusi Kariah Masjid, Tuan Hj. Mohd Ali Hj. Mohd Yusof berkata, beliau amat menghargai segala usaha USM dan ICU bagi memastikan kebajikan anak-anak kariah kategori B40 di kawasan mereka tidak tercicir dan sentiasa terjamin dalam pendidikan.

"Saya bagi pihak Jawatankuasa Kariah masjid-masjid yang terlibat mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang membantu bagi memperjuangkan pendidikan buat anak-anak kariah, dan saya yakin dengan sumbangan dana oleh ICU ditambah pula tenaga pakar oleh USM, ia mampu memberi impak positif buat anak-anak kariah sekitarnya," katanya.

Beliau juga turut berharap dengan kerjasama ini, ia akan menjadi batu loncatan buat jawatankuasa kariah untuk terus bersama-sama menyokong USM dalam apa juga program yang bakal diadakan selepas ini demi pembangunan masyarakat setempat terutamanya buat golongan yang memerlukan.

Yang turut hadir adalah Dekan PPIP USM merangkap Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, ICU JPM merangkap Penasihat Bersama Program, Asuat Ahmad; Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM merangkap Penasihat Bersama Program, Tuan Syed Yusof Syed Kechik; Pengerusi Kariah Masjid, Masjid Jamek Sg. Gelugor, Tuan Hj. Mohd Ali Haji Mohd Yusof; Pengerusi Kariah Masjid, Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, Tuan Hj. Syed Baba Ahmad Syed Peer; Pengerusi Kariah Masjid, Masjid Jamek Sg. Nibong Besar, Profesor Dato’ Ir Mahyuddin Ramli; Pengerusi Kariah Masjid, Masjid Al-Bukhary, Tuan Hj. Mohamed Zain A. Ibrahim; Pengarah Urusan, Test Center Malaysia, Ezani Amir; konsultan-konsultan program yang terdiri daripada pensyarah PPIP dan pegawai-pegawai utama universiti.

WhatsApp_Image_2020-07-09_at_11.30.10_1.jpeg

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1510

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024