SAINTIS USM AND YALE UNIVERSITY JALANKAN KAJIAN TERKAWAL PERTAMA KE ATAS MANUSIA, DAPATI KETUM BERKESAN SEBAGAI UBAT TAHAN SAKIT
PULAU PINANG, 5 Julai 2020 – Sekumpulan saintis dari Universiti Sains Malaysia (USM) and Yale School of Medicine, Connecticut, Amerika Syarikat telah menjalankan kajian berbentuk rawak, double-blind, plasebo-terkawal yang penting, melibatkan 26 sukarelawan untuk menilai secara kritikal kesan ketum dalam menahan kesakitan.
Kajian tersebut diketuai oleh Profesor Dr. B. Vicknasingam, Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) USM dan Profesor Dr. Marek C. Chawarski dari Yale School of Medicine.
Hasil keputusan kajian tersebut mendapati bahawa ketum mampu digunakan dalam meningkatkan ketahanan terhadap rasa sakit.
Namun begitu, kajian yang lebih mendalam berkaitan kemampuan ketum menahan kesakitan serta profil keselamatannya masih diperlukan.
Penemuan tersebut, diterbitkan dalam ‘Yale Journal of Biology and Medicine’ (YJBM) keluaran Jun 2020, telah memaparkan bukti yang telah dinilai secara objektif, dan telah dicapai berikutan hasil kajian ke atas subjek manusia buat pertama kalinya.
Ia memberikan pengesahan atau sokongan awal berkaitan kemampuan ketum menahan kesakitan, yang sebelum ini hanya dilaporkan secara anekdotal berdasarkan pengalaman sendiri melalui kajian secara pemerhatian.
Ketum atau ‘kratom’ dalam Bahasa Inggeris (nama saintifik: Mitragyna speciosa) telah lama digunakan dalam amalan pengubatan tradisional di Asia Tenggara dan telah menjadi semakin popular di Amerika Syarikat serta di serata pelusuk dunia.
Selain dari dakwaan yang mengatakan adanya kesan terapeutik, isu berkaitan ketoksikan serta insiden yang membawa maut yang telah dilaporkan yang dikaitkan dengan hasil produk dari ketum, serta kemungkinan adanya unsur ketagihan dari ketum atau kandungan aktifnya, kerap diperdebatkan dalam kalangan komuniti saintifik dan dalam kalangan agensi regulatori di Amerika Syarikat serta di negara-negara lain.
Walaupun ketum telah digunakan di Malaysia lebih dari satu abad, penyalahgunaannya secara meluas baru-baru ini telah menggesa pihak Kerajaan untuk mencadangkan pindaan pada Akta Racun 1952 bagi memperkenalkan langkah-langkah yang lebih ketat dalam mengawal penanaman, penghasilan, pengedaran, serta penggunaan ketum yang akan membawa kesan dari segi undang-undang serta hukuman yang lebih berat.
Tersebarnya penggunaan ketum secara meluas masa kini di samping kontroversi berkaitan potensi ketoksikannya, juga potensi ciri ketagihan dan ketidakpastian profil keselamatannya yang menyeluruh menyebabkan wujudnya keperluan mendesak dijalankan penyelidikan saintifik mendalam tentang kesan tumbuhan ini terhadap kesihatan manusia.
Pada masa yang sama, kajian terkawal yang lebih menyeluruh terhadap ubat-ubatan berasaskan tumbuhan masih ketinggalan berbanding kajian farmaseutikal tradisional serta usaha ke arah penghasilan ubat-ubatan sintetik yang baharu.
Kajian perubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan agak terhad akibat ketiadaan kaedah saintifik yang sesuai, kekurangan peruntukan, serta ketiadaan penemuan yang berpotensi.
Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) USM telah menjalankan penyelidikan berkaitan ketum lebih dari sedekad lalu dan telah menjadi pelopor dalam bidang tersebut, dengan lebih 80 kertas saintifik diterbitkan berkaitan ketum atau kandungan aktifnya.
CDR menerima peruntukan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan ketum.
Usaha kolaborasi yang telah wujud sekian lama bersama Yale University memberikan peluang yang unik kepada CDR untuk memajukan usaha penyelidikan ke arah mengetengahkan kegunaan ketum dari segi perubatan, mewujudkan suasana yang kondusif untuk menjalankan penyelidikan dan juga dari konteks komersil bagi penyediaan ubat-ubatan berasaskan ketum.
CDR sedang meneliti pelbagai model penyelidikan dan perkembagan komersil dalam usaha memajukan asas dan penemuan saintifik ke arah kaedah perubatan atau rawatan intervensi berasaskan ketum.
National Institute of Health (NIH), USA juga amat berminat dalam memberi sokongan terhadap penyelidikan berkaitan ketum dan sehingga kini telah memberi peruntukan kepada universiti-universiti di USA untuk melaksanakan pelbagai kajian menyeluruh.
Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin & Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1582