USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA RM500,000 BIAYA PESAKIT B40

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Julai 2020 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan berjumlah RM500,000 daripada Yayasan UEM untuk pembiayaan perubatan pesakit yang memerlukan bantuan.

WhatsApp_Image_2020-07-06_at_13.59.49.jpeg

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan UEM Group Berhad yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani kepada Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Sukari, sumbangan yang diterima ini bakal memberi manfaat kepada sebahagian besar pesakit kategori B40 khususnya golongan asnaf daripada keluarga yang tidak berkemampuan dan memerlukan rawatan segera.

“Sumbangan daripada syarikat korporat sebegini amat penting dalam membantu hospital pengajar universiti (HPU) membiayai rawatan perubatan supaya hospital kekal menerima kes-kes berkualiti untuk pengajaran di samping memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” ujarnya.

Tambah Sukari, sumbangan Yayasan UEM kepada Hospital USM bagi tahun kedua ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat negeri Kelantan dan Pantai Timur khususnya serta Hospital USM amnya.

“Bagi pihak Hospital USM, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Yayasan UEM atas keprihatinan membantu menampung pembiayaan perubatan pesakit.

“Sumbangan yang diterima, apabila digabungjalinkan dengan kepakaran yang ada di Hospital USM, InsyaAllah dapat memberi nilai tambah yang cukup baik kepada masyarakat.

“Saya juga berharap agar sumbangan ini akan berterusan selamanya serta lebih ramai individu dan syarikat-syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat, Profesor Madya Dato' Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 667

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024