USM BANTU SERLAHKAN POTENSI DIRI-SANDRAGESON
PULAU PINANG, 2 Julai 2020 – “Saya dulu kerja sebagai pelayan pejabat, sekitar tahun 1979. Tengah hantar surat tiba-tiba ada seorang lelaki tanya saya, mahu atau tidak bekerja di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)? Tanpa fikir panjang saya bersetuju sebab masa itu memang tertunggu-tunggu jawatan di sektor kerajaan,” ujar sosok tinggi lampai bernama V. Sandrageson, 59, Ketua Pembantu Tadbir (N28) yang telah menabur khidmat baktinya selama lebih 37 tahun bersama Universiti Sains Malaysia (USM).
Meneruskan ceritanya, Sandrageson atau lebih sinonim dengan panggilan Sandra berkhidmat di KPM kira-kira empat tahun sebelum memajukan kariernya dengan menerima tawaran sebagai Atendan Hospital di Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan pada 2 Julai 1983.
Sejak bekerja di USM, hidupnya berubah.
Dari situ ujarnya, beliau mula mengenali potensi dirinya kerana banyak belajar dari individu-individu dalam persekitaran sebuah menara ilmu.
“USM sudah menjadi macam rumah kedua saya. Saya suka bekerja di sini, tinggal di sini dan menikmati persekitaran yang ada di sini. Malah, dari dulu saya merasakan, kalau hendak melanjutkan pengajian, datanglah ke USM kerana suasananya amat sesuai dan kondusif untuk belajar dan juga bekerja,” ujarnya ketika ditanya apakah yang menarik mengenai USM di matanya.
BIDANG TUGAS
“Boleh dikatakan USM telah mengajar saya pelbagai perkara. Siapa sangka hanya bermula sebagai pelayan pejabat, kini saya telah berupaya menjayakan urusan harian pejabat, termasuk menyelaras, menyimpan dan mengemaskini 14 Akaun Belanja Mengurus dan 2 Akaun Enterprise bagi Pusat Rancangan Kokurikulum, tempat bertugas yang telah menjadi sebahagian dari hidup saya.
“Saya buat sehabis baik terhadap amanah yang diberikan dan memberi komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan dalam kapasti sebagai Ketua Pembantu Tadbir bagi memastikan matlamat kendiri seiring dengan halatuju jabatan serta membantu menyumbang dalam mencapai misi dan visi universiti,” ujar bapa kepada dua orang puteri melalui perkongsian hidup dengan isteri tercinta, Puvanesvari a/p Balakrishnan, 54 tahun itu.
Sandra terdahulu telah berkhidmat di beberapa jabatan dalam USM antaranya, Rumah Tetamu, Jabatan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan terkini di Pusat Rancangan Kokurikulum.
Antara bidang tugas beliau termasuk membantu dalam hal ehwal pengurusan rancangan kokurikulum USM, membantu dalam penyelenggaraan Bangunan C15 dan laporan kerosakan dalam sistem IMOS, menguruskan tempahan Dewan Utama, foyer, van, padang Pusat Rancangan Kokurikulum dan kemudahan lain yang terdapat di Bangunan C15 serta penyelenggaran van Pusat Rancangan Kokurikulum, menguruskan penyimpanan dan pengeluaran serta pergerakan semua kunci bangunan di Pusat Rancangan Kokurikulum dan pelbagai tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Jabatan dari masa ke semasa.
CABARAN DALAM KERJAYA
Antara perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya beliau di USM adalah pada ketika pegawai bertanggungjawab (Penolong Pendaftar) dalam hal ehwal pengurusan ditukarkan dan tiada pengganti untuk tempoh enam bulan.
Kebiasaannya Sandra akan membantu pegawai atasannya dalam pengurusan harian pejabat namun dengan ketiadaan pengganti pada masa itu, beliau berdepan pelbagai kesukaran dan bimbang jika tidak mampu menggalas tugasnya seperti biasa.
“Saya agak panik pada masa itu kerana banyak kerja perlu diselesaikan. Namun dengan sokongan dan bimbingan secara terus daripada ketua jabatan membuatkan saya yakin dan meneruskan kerja-kerja yang ada dengan jayanya.
“Pada masa itu saya rasakan potensi diri saya dapat diserlahkan dengan begitu baik. Saya amat menghargai kepercayaan ketua jabatan serta rakan-rakan sepejabat yang sentiasa memberi sokongan,” katanya lagi.
Beliau turut berkongsi pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.
Mengulas lanjut katanya, ada ketikanya Pusat Rancangan Kokurikulum didatangi oleh pelajar seawal jam 6.30 pagi kerana ingin mendapatkan slot rayuan untuk mengikuti kursus kokurikulum.
Situasi itu katanya amat meninggalkan kesan dan beliau pada mulanya sama sekali tidak percaya ada pelajar yang sanggup berbuat demikian.
“Mereka siap membawa makanan dan menunggu sehingga pejabat dibuka. Ia satu keadaan yang cukup luar biasa bagi saya.
Pun begitu saya selalu nasihatkan rakan-rakan sekerja untuk sentiasa mendahulukan pelajar kerana merekalah pelanggan kita yang utama.
“Keberadaan kita di pejabat adalah untuk membantu memudahkan urusan mereka dan itu yang saya pegang sehingga ke hari ini, syukur ramai pelajar menghargainya,” ujar beliau lagi.
PENCAPAIAN TERBAIK
Paling membanggakan, Sandra yang pada mulanya hanya ingin mencari rezeki seperti kebanyakan insan lain diberi peluang menjawat pelbagai jawatan penting ketika mencurahkan khidmatnya bersama USM.
Atas kredibilitinya menjalankan tugas penuh amanah, Sandra dilantik sebagai Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri KLKM pada tahun 2013. Keanggotaan Majlis adalah terdiri daripada Kumpulan Pengakap Kelana Malaysia yang ditubuhkan, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Institusi Latihan Kemahiran Awam/Swasta di seluruh Malaysia, yang kesemua anggotanya kekal sehingga ke hari ini.
Beliau juga turut diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Bendahari Agung Jawatankuasa Sekretariat Khidmat Masyarakat Thaipusam USM sejak lebih dari 15 tahun dahulu sehingga sekarang.
“Saya tidak pernah menyangka saya mampu melakukan semua amanah-amanah ini. Banyak perkara saya belajar di kampus Minden ini khususnya dalam menganggotai KLKM di peringkat kebangsaan dan berpeluang ke pelbagai tempat lain membina jaringan.
“Kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa sokongan banyak pihak khususnya ketua-ketua jabatan saya dan para akademia yang terlibat secara langsung dalam aktiviti kokurikulum,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Antara nama-nama yang beliau tidak lupakan ialah Profesor Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman, Mantan Pendaftar, Mohd Akhir Abdullah dan ramai lagi yang menyokong kerjayanya dari mula bertugas sehinggalah akan menamatkan perkhidmatannya pada awal Ogos tahun ini.
HARAPAN BUAT USM
“Saya amat berharap jalinan kerjasama di antara kakitangan akademik dan bukan akademik akan sentiasa diperkukuhkan kerana kedua-duanya memainkan peranan untuk membentuk mahasiswa USM ke arah pemimpin generasi masa hadapan. Kita perlu menjadi role-model yang baik kepada mereka.
“Paling penting, kita perlu sematkan dalam diri bahawa kita bekerja di sebuah gedung ilmu dan dengan itu, cara bekerja juga haruslah profesional, berintegriti tinggi dan komited selari dengan 5 Rukun Nilai USM.
“Dengan cara itu sahaja kita akan disegani dan dihormati. Bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran,” ujarnya sambil mengakui bekerja bersama-sama dan saling mengenali antara satu sama lain memainkan peranan penting dalam menjayakan sesuatu matlamat.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1226