USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CONTOHILAH KOMITMEN USM MELESTARIKAN KAMPUS HIJAU, KATA TIMBALAN MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR

FB IMG 1593955097338

USM PULAU PINANG, 1 Julai 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) berada pada landasan yang betul dalam komitmennya melestarikan agenda Kampus Hijau (Green Campus).

Demikian kata Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, yang turut tertarik dan berpuas hati dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan USM dalam menggembleng warganya menjadikan agenda melestarikan alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.

“Misalnya inisiatif USM dalam menubuhkan Majlis Kelestarian Universiti untuk menggariskan hala tuju yang jelas dan tepat ke arah mencapai matlamat Kampus Hijau, adalah usaha yang wajar dipuji dan dicontohi.

“Selain itu, diharap institusi pengajian tinggi (IPT) lain akan mencontohi juga inisiatif USM untuk mewajibkan semua graduannya mengikuti kursus pembangunan lestari,” tambah beliau, ketika menghadiri Program Sinergi Hijau Melestarikan Alam Sekitar dan Kampus Hijau di kampus induk USM, di sini baru-baru ini.    

Menurut beliau lagi, kementeriannya telah memilih USM sebagai IPT pertama yang dilawati dalam siri jelajah ‘Green Campus Tour’ untuk memperkenalkan cabaran kampus rendah karbon Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di kesemua IPT di negara ini.

“Saya akan mengunjungi universiti di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan graduan mengenai pentingnya mengurangkan jejak karbon dan mengenai pembangunan lestari.

FB IMG 1593955062957

"Graduan adalah pemangkin, pemboleh dan jurucakap kita kepada dunia luar, dan tiada tempat lain yang lebih baik daripada menara ilmu untuk memperkasakan konsep ini, lebih-lebih lagi di sebuah universiti seperti USM yang berada di kedudukan teratas (#65) dalam kalangan IPT di Malaysia bagi Ranking Impak Universiti Times Higher Education (THE) 2020 yang dinilai berdasarkan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDGs),” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa kementeriannya akan memperkenalkan program Jana Graduan Hijau (JAGUH) bagi memberi peluang kepada 10,000 graduan yang baharu tamat pelajaran menceburi bidang keusahawanan lestari hijau.

“Inisiatif JAGUH dijangka diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini dan tumpuan akan diberikan kepada graduan yang menghadapi kesukaran mencari pekerjaan kerana kesan pandemik Covid-19,” kata beliau kepada pemberita yang hadir.

Sebelum itu, Ahmad Masrizal turut dibawa melawat ECO Hub USM, yang mana beliau telah menanam anak pokok simbolik pelancaran Program Sinergi Hijau Melestarikan Alam Sekitar dan Kampus Hijau di kampus USM.

FB IMG 1593955032546

Beliau juga melawat ladang kelulut USM dan diberi penerangan mengenai kaedah penternakan lebah kelulut bersistematik untuk menghasilkan madu yang benar-benar berkualiti oleh Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa.

Antara pegawai kanan yang hadir mengiringi Timbalan Menteri ialah Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar, Dr. K. Nagulendran; Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; dan Pengarah Jaringan Komuniti USM, Syed Yusof Syed Kechik.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 958

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024