33 TAHUN BERBAKTI MEMARTABATKAN SAINS KOMPUTER, ROSNI ABDULLAH@MUSTAFA UNDUR DIRI DARI MENARA ILMU
PULAU PINANG, 28 Jun 2020 – Terima kasih, terima kasih dan terima kasih!!! Itulah yang mampu diungkapkan oleh seluruh warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) kepada seorang wanita hebat bernama Rosni Abdullah@Mustafa, mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM yang telah bersara wajib pada 3 Jun yang lalu selepas tiga puluh tiga tahun menabur bakti di menara ilmu ini.
Tiga puluh tiga tahun bergelumang dengan pelbagai liku dan cabaran bagi memartabatkan bidang Sains Komputer di USM, ia bukanlah suatu masa yang singkat buat anak jati Pulau Pinang, Prof. Dr. Rosni Abdullah@Mustafa yang telah berkorban segenap kudrat bagi menurunkan ilmu dan kepakaran beliau sehingga USM berjaya melahirkan ramai pakar komputer dan teknologi maklumat, termasuk mempelopori pelbagai kejayaan akademik dan penyelidikan di peringkat kebangsaan dan dunia.
Persaraan Rosni cukup memberi kesan buat USM memandangkan pengalaman dan pengetahuan beliau yang cukup tinggi dalam bidang Sains Komputer dan juga Matematik Gunaan selepas ini tidak mampu lagi ditagih oleh generasi akan datang, tetapi apa yang pasti legasi ditinggalkan beliau mampu memberi impak kepada pembangunan dan penginovasian bidang tersebut ke tahap yang lebih tinggi buat USM.
Pihak Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) berkesempatan menghubungi dan menemubual Prof. Dr. Rosni Abdullah@Mustafa bagi mendapatkan perkongsian sejarah hidup dan pengalaman beliau selama berkhidmat di USM buat coretan khas untuk tatapan warga universiti tercinta ini.
Rosni Abdullah@Mustafa, anak sulung daripada 10 orang adik-beradik telah dibesarkan di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang. Beliau telah memulakan peringkat pendidikan awal menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban (1975-1979).
Seterusnya beliau berjaya meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Matematik Gunaan (1980-1984) di Western Michigan University, Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat.
Tidak terhenti di situ beliau terus mengorak langkah menyambung pengajian peringkat Sarjana Sains Komputer di universiti yang sama (1984-1986) dan seterusnya peringkat tertinggi Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang yang sama di Loughborough University, United Kingdom (1993-1997).
Berikut selanjutnya merupakan hasil temubual bersama Prof. Dr. Rosni Abdullah@Mustafa untuk dikongsikan bersama warga kampus.
Pertama sekali bagi pihak USM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Prof. di atas sanjungan budi menabur bakti selama lebih 33 tahun di USM. Sudah pasti terlalu banyak kenangan dan pengalaman Prof. sepanjang berkhidmat di sini yang tidak mungkin mampu diceritakan sepenuhnya di dalam artikel ini, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga USM yang masih berkhidmat di universiti. Bagi memulakan sesi temubual kita pada hari ini, boleh Prof. kongsikan permulaan karier Prof. di USM selepas menamatkan pengajian peringkat tertinggi Ph.D.?
Terima kasih di atas ucapan dan penghargaan yang diberikan kepada saya ini. Saya amat menghargai inisiatif USM yang sudi menemubual saya untuk perkongsian buat warga USM semua. Untuk makluman sejak kecil lagi, saya bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik, kerana ia banyak didorong oleh ‘role model’ saya ketika itu iaitu bapa saya sendiri yang merupakan seorang guru Matematik. Beliau amat berjiwa pendidik, selepas mengajar di sekolah beliau membuka kelas tuisyen pula di rumah dan di situ saya telah melihat kesungguhan, kegigihan dan kesabaran bapa saya mendidik dalam mengendalikan kelas tuisyen. Jadi, saya berazam untuk menjadi seperti bapa saya tetapi pada masa itu saya meletakkan harapan tinggi pada diri untuk menjadi pendidik mengajar pelajar di peringkat universiti.
Ketika saya berada di akhir pengajian Sarjana di Amerika Syarikat, saya telah ditawarkan skim fellowship USM untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.), tetapi saya terpaksa menolak pada masa itu walaupun USM meminta untuk menyambung terus pengajian. Ini adalah disebabkan saya ingin pulang ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman bekerja dahulu.
Rezeki tidak pernah salah alamat, apabila pulang ke Malaysia kebetulan USM telah mengiklankan jawatan Pensyarah Sains Komputer lantas saya pun terus memohon.
Saya bersyukur kerana dipilih bagi menjawat jawatan tersebut dan mula berkhidmat di Bahagian Sains Komputer, Pusat Pengajian Sains Matematik dan Sains Komputer pada 19 Januari 1987 sebagai pensyarah. Setelah empat tahun mengajar, saya mula merasa tepu dan serba kekurangan kerana dengan ijazah sarjana ketika itu saya rasa tidak mencukupi untuk mendidik pelajar universiti.
Saya mula mencari-cari bidang untuk saya mulakan pengajian Ph.D., dan hati saya terbuka untuk menceburi bidang ‘Parallel Algorithms’ apabila saya menghadiri persidangan ‘Supercomputers’ di Kuala Lumpur pada tahun 1991. Apa yang mendorong saya adalah kurangnya penekanan kepada pembangunan algoritma selari ketika itu berbanding perkembangan pesat dalam hardware untuk supercomputer. Pada Disember 1992, saya berangkat ke UK untuk pengajian Ph.D. di Loughborough University dan kembali semula ke USM pada 1 Mei 1997.
Pengorbanan besar telah dibuat oleh suami saya ketika kami ke UK apabila beliau telah meletakkan jawatan untuk bersama saya dan tiga orang anak di UK. Motivasi saya pada masa itu adalah untuk cepat menamatkan Ph.D. dan kembali ke Malaysia kerana ingin memberi peluang pula pada suami bagi meneruskan cita-citanya dalam kemajuan kerjaya.
Sudah pasti pada waktu Prof. memilih bidang pengajian Sains Komputer ini mungkin ada segelintir yang memandang rendah atau mempertikai kemampuan Prof., disebabkan Prof. adalah seorang wanita untuk menceburi bidang baharu pada zaman tersebut. Boleh Prof. kongsikan?
Sudah semestinya ada. Sebenarnya saya ditaja oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menghantar saya untuk melanjutkan Ijazah Sarjana Muda Matematik. Sebelum saya bertolak ke Amerika Syarikat, saya berkesempatan melawat majlis Konvokesyen USM bersama bapa saudara saya dan ketika itu melihat sebuah komputer beroperasi. Saya sangat tertarik dengan apa yang saya lihat. Apabila setibanya saya di Amerika Syarikat, saya mencari maklumat lanjut mengenai Sains Komputer dan mendapati ianya suatu bidang baharu ketika itu. Terus saya semakin berminat untuk menceburi bidang tersebut.
Ingin saya kongsikan pengalaman seperti yang ditanya. Dalam satu sesi perjumpaan bersama pelajar senior, kami pelajar baharu diminta memperkenalkan diri serta bidang pengajian masing-masing. Setibanya giliran saya, saya memberitahu bahawa saya dihantar untuk menyambungkan pengajian di dalam Matematik, tetapi saya berminat ingin mencuba Sains Komputer. Tiba-tiba mereka ketawakan saya dan berkata "perempuan mana mampu boleh buat Sains Komputer!!"
Saya dengan spontan bertanya kenapa pula tidak boleh? Jawapan mereka kerana berdasarkan pengalaman mereka, pelajar wanita tidak mampu mengikuti bidang tersebut kerana dikatakan ia amat susah pada waktu tersebut. Saya menjawab, jangan hanya segelintir mereka tidak boleh membawa bidang tersebut anda tidak boleh mengatakan semua wanita tidak berkemampuan. Terus saya katakan bahawa saya akan buktikan kepada mereka yang wanita mampu berjaya di dalam Sains Komputer.
Apa yang menyedihkan lagi pada masa itu ketika semangat saya ingin membuktikan perkara tersebut, MARA tidak membenarkan saya menukar kursus dari Matematik ke Sains Komputer. Saya tidak berputus asa dengan memberanikan diri mengambil ‘double major’ iaitu Matematik Gunaan dan Sains Komputer. Itulah sedikit sebanyak ceritanya.
Seperkara lagi, sewaktu temuduga untuk menjawat jawatan Pensyarah di USM, saya ditanya mampukah saya mengajar pelajar-pelajar yang semuanya lebih besar daripada saya? Apa yang saya jawab adalah saya bertekad dengan berkata, "Tuan, you should not judge a book by its cover. Even if you put a big fat guy in the class, do you think he can control the students?" Lantas ahli panel temuduga semua ketawakan saya. Akhirnya syukur saya diterima masuk menyandang jawatan tersebut di USM.
Perkongsian yang amat baik dalam sejarah pembangunan pendidikan dan kerjaya Prof. Baik, sepanjang perkhidmatan Prof. di USM, boleh Prof. kongsikan kejayaan-kejayaan yang dimiliki oleh Prof. sebagai motivasi buat warga kampus di luar sana untuk terus berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Saya telah menerbitkan lebih daripada 100 buah jurnal dan bahan ilmiah yang boleh menjadi rujukan utama dalam bidang saya itu termasuk beberapa penerbitan peringkat antarabangsa. Sepanjang perkhidmatan saya, terima kasih buat USM kerana menghadiahkan pelbagai anugerah akademik, penyelidikan dan pentadbiran sebagai menghargai perkhidmatan saya antaranya,
- Skim Pendidikan Tinggi Staf Akademik (ASHES), Nov 1993 – April 1997
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1994
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2003
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010
- Anugerah Sanjungan Industri, Kategori Akademik 2015
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017
Boleh Prof. kongsikan prinsip diri Prof. dalam menjalankan tugas dan menjadi pemimpin yang baik.
Buat yang terbaik, memanfaatkan kekuatan setiap staf dan membantu memperbaiki kelemahan mereka, bekerja bersama mereka dalam suasana harmoni. ‘Inspire them, engage them, empower them.’
Siapa ikon Prof.? Seseorang yang banyak memberi inspirasi kepada Prof. untuk terus berjaya dlm hidup.
Ketika kecil, ‘role model’ saya adalah bapa saya. Tetapi apabila saya membesar saya mula memerhati pemimpin-pemimpin di sekitar saya dan belajar untuk mengambil kekuatan mereka sebagai inspirasi untuk saya.
Peristiwa yang paling manis atau yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan Prof. di Pusat Pengajian Sains Komputer dan Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6).
Sebenarnya terlalu banyak untuk dikongsikan kepada umum, sukar untuk saya senaraikan, tetapi pada prinsipnya kenangan manis itu hadir:
- apabila dapat bekerjasama dengan staf untuk menjayakan majlis rasmi anjuran PTJ;
- apabila pelajar mencapai kejayaan dalam mana-mana pertandingan;
- apabila staf mencapai kejayaan terutamanya kenaikan pangkat.
Paling gembira dan menyentuh hati saya apabila berjumpa semula alumni Sains Komputer di luar USM dan melihat kejayaan mereka. Pernah beberapa kali di dalam majlis yang saya hadiri, alumni USM sedang menyampaikan ceramah dan apabila mereka sedar kehadiran saya, mereka merakamkan penghargaan kepada USM secara amnya, dan kepada saya sebagai pensyarah khususnya. Itu sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada saya.
Apakah legasi kepakaran pengetahuan akademik yang ditinggalkan Prof. selepas bersara ini, yang Prof. rasakan ia mampu memberi kesan dan perkongsian penting untuk kegunaan generasi seterusnya yang berkhidmat di USM.
Bidang penyelidikan saya ialah Pengkomputeran Selari (Parallel Computing), khususnya Algoritma Selari (Parallel Algorithms). Bidang ini adalah terkehadapan sekitar 1997 apabila saya tamat Ph.D.
Sekitar tahun 2000, saya mula meneroka Algoritma Selari untuk memproses data biologi, memulakan penyelidikan multidisiplin. Pada masa yang sama, saya meneroka hubungan dengan industri dan berjaya mendapat geran tajaan Intel dalam bidang pemprosesan selari. Apabila Intel mengeluarkan komputer multicore, saya telah bekerjasama dengan Intel untuk mengendalikan program latihan pemprograman multicore untuk penyelidik di institusi pengajian tinggi.
Ketika itu Intel telah menyumbang Intel Multicore Lab kepada USM. Ini disusuli pada tahun 2013 apabila Intel menawarkan peluang kerjasama program latihan Intel Galileo dan Intel Edison yang mendedahkan asas Internet of Things (IOT) kepada semua peringkat pelajar Sains Komputer melalui kurikulum Sains Komputer, projek tahun akhir dan penyelidikan di peringkat sarjana dan Ph.D.
Dari sini juga saya telah didedahkan kepada aktiviti-aktiviti Intel Makers dan penglibatan tersebut telah mendorong saya untuk memulakan aktiviti Makers@USM pada hujung tahun 2016 dan diformalisasikan di peringkat USM pada 1 Mac 2017. Idea ini telah mendapat sokongan padu daripada USM dan telah dibentangkan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) – maka lahirlah Unimaker pada tahun 2018 yang merupakan aktiviti Makers di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Kemuncak kejayaan ialah apabila USM memenangi tempat pertama dan kedua dalam pertandingan Unimaker 2018 yang julung kali diadakan.
Dua asas utama di sini:
- Multidisciplinary Research, which should lead to multidisciplinary teaching. When I ventured into exploring the use of parallel algorithms for biological data, some people said I was crazy. Today, I have graduated 24 Ph.D. students and 3 masters by research, where 15 of the Ph.D. and 2 of the masters are in the area of Computational Biology. Saya adalah penyelidik bersama bagi geran Newton-Ungku Omar dengan penyelidik UNIMAS untuk meneroka Deep Learning dalam bidang Astronomi. Geran ini adalah dengan pakar astronomi dari Manchester University, UK. Saya juga telah mengetuai sepasukan staf pelbagai disiplin untuk mendapatkan geran LRGS MRUN bertajuk High Performance Big Data Analytics Platform for Optimizing Oil Palm Yield via Breeding by Design, kolaborasi antara UTM, UM, UKM, UPM dan Felda Global Ventures (FGV). Geran ini telah diluluskan pada pertengahan Mac 2020.
2. Impak penyelidikan melalui kerjasama dengan industri serta aktiviti Makers@USM dan Unimaker.
Bagaimana Prof. mengimbangi masa dan komitmen di antara kerjaya dan keluarga?
Saya seringkali ditanya bagaimana saya mengimbangi antara kerjaya dan keluarga. Memang ianya satu cabaran, terutama bagi kaum wanita, untuk seimbangkan antara kerjaya dan keluarga. Prinsip saya adalah keluarga diutamakan namun tidaklah sehingga terabai tugas hakiki. Saya bersyukur kerana suami saya terutamanya sentiasa memberi sokongan, dorongan dan membantu saya dalam menguruskan hal ehwal keluarga.
Terakhir Prof., USM amat memerlukan kata-kata motivasi atau pembakar semangat dari Prof. buat semua warga USM untuk terus berkhidmat dengan penuh komited dan terus sayang kepada USM.
Setiap kita mempunyai kekuatan dan kelemahan, tiada manusia yang sempurna. Kenal pasti, manfaatkan dan tingkatkan kekuatan diri untuk menyumbang kepada USM serta perbaiki kelemahan diri. Bersedialah untuk selalu mempelajari perkara baharu, kongsi pengetahuan dan pengalaman sesama staf, dan bekerja sebagai satu keluarga untuk membawa USM terus maju ke hadapan. Most important, enjoy your work dan jelas matlamat kehidupan.
----------
Antara jawatan yang disandang oleh Prof. Dr. Rosni Abdullah@Mustafa sepanjang 33 tahun berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM).
PENYELARAS Pusat Pengajian Sains Matematik dan Sains Komputer (Bhg Sains Komputer) |
15/06/1989 | 31/05/1990 |
PENGERUSI RANCANGAN Rancangan Sains Komputer Pusat Pengajian Sains Matematik dan Sains Komputer (Bhg Sains Komputer) |
01/06/1990 | 31/05/1991 |
PENGERUSI RANCANGAN Rancangan Sains Komputer Pusat Pengajian Sains Matematik dan Sains Komputer (Bhg Sains Komputer) |
01/06/1991 | 31/05/1992 |
TIMBALAN DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
01/11/1998 | 31/07/1999 |
TIMBALAN DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
15/03/2000 | 14/03/2001 |
TIMBALAN DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
26/03/2001 | 25/03/2003 |
TIMBALAN DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
26/03/2003 | 31/07/2003 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
01/05/2004 | 14/03/2005 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
15/03/2005 | 14/03/2007 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
15/03/2007 | 14/03/2009 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
15/03/2009 | 31/12/2009 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
01/01/2010 | 31/12/2012 |
PENYELARAS Pusat IPv6 Termaju Negara |
01/01/2014 | 31/12/2014 |
PENGARAH Pusat IPv6 Termaju Negara |
01/01/2015 | 31/12/2015 |
PENGARAH Pusat IPv6 Termaju Negara |
01/01/2016 | 31/12/2018 |
DEKAN Pusat Pengajian Sains Komputer |
01/01/2019 | 02/06/2020 |
PENGARAH Pusat IPv6 Termaju Negara |
01/01/2019 | 02/06/2020 |
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1583