USM ANJUR WEBINAR ANTARABANGSA MARTABATKAN TERJEMAHAN BAHASA CINA-BAHASA MELAYU
USM PULAU PINANG, 27 Jun 2020 – Walaupun dalam keadaan getir negara bergelut dengan wabak pandemik COVID-19, demi pelangsungan aktiviti akademik dan penyelidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) tetap mengambil inisiatif untuk menganjurkan Webinar Antarabangsa Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu, yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2020 melalui platform WEBEX.
Webinar tersebut yang julung kali diadakan secara dalam talian, dianjurkan oleh Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM dengan kerjasama rapat daripada rakan strategik Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China.
Webinar tersebut yang bertemakan Sejarah Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu & Kaedah dan Teknik Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu, mempunyai matlamat serampang tiga mata, iaitu:
- Menemukan penyelidik terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu dari Malaysia dan China untuk membentangkan hasil dapatan kajian masing-masing;
- Mempererat hubungan kerjasama dua hala Malaysia-China melalui perkongsian ilmu terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu; dan
- Menghasilkan manuskrip buku ilmiah dalam bidang terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu yang boleh dijadikan sumber rujukan amali dan penyelidikan terjemahan sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China.
Webinar seharian itu akan dirasmikan oleh TYT Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China.
Ucapan alu-aluan akan disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan manakala Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Dato’ Goh Hin San turut dijemput untuk memberi sepatah dua kata.
Para penyelidik dan akademik dari beberapa universiti terkemuka di China yang ada jalinan usaha sama akademik dengan USM, khususnya dalam bidang terjemahan dan kejurubahasaan, turut akan membentangkan kertas kerja mereka dalam webinar tersebut.
Untuk rekod, USM melalui Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan menjadi institusi pertama dan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan program pengajian terjemahan dan interpretasi pada peringkat ijazah sarjana muda sejak tahun 1992, yang kemudiannya atas keperluan negara dan kepakaran para ahli akademiknya, dilanjutkan ke peringkat pengajian ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.
Kepada yang berminat untuk menyertai sesi tersebut pada 30 Jun 2020, bermula jam 9.30 pagi, berikut ialah butirannya:
- Bilik Mesyuarat: https://globalpage-prod.webex.com/join
- Nombor Mesyuarat: 166 790 5104
- Kata laluan: WebinarPPIKUSM
Untuk maklumat lanjut, boleh juga hubungi Timbalan Dekan, Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti PPIK, USM merangkap Penyelaras UniTI, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, di talian 04-6533858 atau emel:
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1195