USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MORSHIDI SIRAT NAIB CANSELOR BARU UNIMAS

CSC 0227

PULAU PINANG, 25 Mac 2013 - Seorang lagi warga Universiti Sains Malaysia (USM) diberi kepercayaan oleh Menteri Pengajian Tinggi untuk menerajui sebuah lagi universiti negara ini.

Setelah Profesor Dato’ Asma Ismail dipilih menjadi Naib Canselor Universiti Sains Islam (USIM), kini Profesor Morshidi Sirat yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-57 pada 3 Mac lalu pula dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mulai 1 April ini.  Beliau mengesahkan telah menerima watikah pelantikannya baru-baru ini.

Profesor dalam bidang Geografi di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan itu sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (16 Februari 2011 sehingga 2 Mac 2013).

Anak kelahiran Sarikei, Sarawak tersebut mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Abang Hj. Matahir dan kemudian menyambung pengajian di Sacred Heart School, Sibu, Sarawak dan Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri.

Morshidi kemudiannya mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama sehingga mendapat BA (Hons) Town and Country Planning (Council for National Academic Awards/Glasgow School of Art, Glasgow, Scotland) pada tahun 1980 dan menyambung pengajian pada peringkat sarjana sehingga memperolehi ijazah  MSc (Econs) Regional Development Planning, University College of Swansea, University of Wales pada tahun 1982. Beliau kemudian memperolehi ijazah doktor falsafah (Ph.D) dari  University of Southampton, England pada tahun 1989. 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan akademik sepanjang berkhidmat di USM bermula pada tahun 1982.  

Morshidi dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM (1998 – 2001), dilantik sebagai professor dalam bidang Geografi (2000), Pengarah Institut Penyelidikan  Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) (2005 – 2011) dan kemudiannya Dekan Penyelidikan Pelantar Penyelidikan Transformasi Sosial USM (2008 – 2009). Beliau juga pernah  dilantik sebagai profesor kunjungan di Research Institute for Higher Education (RIHE), Hiroshima University,  1-2-2 Kagamiyama, Higashi-Hiroshima, Jepun (2008).

Beliau mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam penghasilan penulisan dan penerbitan dalam jurnal atau persidangan tempatan dan antarabangsa dan terlibat dalam jawatankuasa-jawatankuasa pada peringkat dunia dalam pelbagai bidang penyelidikan yang menjadi fokus dan minat utamanya iaitu Pengurusan dan Polisi Pengajian Tinggi, Perubahan dalam Profesion Akademik, Perubahan Kedudukan Institusi Pengajian Tinggi dan Ruang Ilmu dan Rantau. Teks: Mohamad Abdullah. 

 

  • Created on .
  • Hits: 3902

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024