GREEN CAMPUS TOUR: USM IPT PERTAMA PILIHAN KASA PERKASAKAN PROGRAM KAMPUS RENDAH KARBON
PULAU PINANG, 26 Jun 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi Institut Pendidikan Tinggi pertama dipilih Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam siri jelajah ‘Green Campus Tour’ untuk memperkasakan program kampus rendah karbon di negara ini agar ia mampu menjadi contoh kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat menerusi kesejahteraan alam sekitar di Malaysia.
Program ‘Green Campus Tour’ merupakan inisiatif pertama KASA, dan USM menjadi lokasi pertama siri jelajah bagi membincang dan mengetengahkan secara optimum kepakaran dimiliki oleh USM yang mampu menjayakan aspek pembangunan kelestarian alam sekitar di negara ini.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, antara tujuan utama dilaksanakan ‘Green Campus Tour’ ini adalah KASA ingin menjadikan universiti seperti USM untuk memperjuang dan mengutamakan pembangunan kelestarian isu alam sekitar bersama-sama pihak kerajaan, selain menjadi rujukan ilmu dan kepakaran pelbagai bidang.
“Dalam konteks ingin menjadi sebuah negara yang baik dari segi pembangunan fizikalnya, kita tidak boleh menolak sepenuhnya isu pembangunan bukan fizikal iaitu penjagaan alam sekitar yang wajib selari dengan segala aspek pembangunan yang diperlukan di negara ini,” katanya ketika berkunjung ke USM bagi mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Naib Canselor dan pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan perkara tersebut.
Tambah beliau, antara sebab utama USM dipilih menjadi kampus pertama dalam siri jelajah ini, kerana lokasinya yang terletak di Pulau Pinang, yang sedia maklum dikelilingi dengan pembangunan pesat terutamanya sektor perindustrian yang antara punca utama kepada permasalahan alam sekitar.
“Saya yakin dan percaya walaupun USM dikelilingi dengan lokasi pembangunan pesat terutamanya perindustrian, USM sehingga kini mampu mempertahan dan mengekalkan ekosistem alam sekitar dengan baik di kampus-kampusnya yang saya lihat dikelilingi pokok-pokok dan persekitaran hijau termasuk beberapa organisasi yang ditubuhkan bagi memantau dan memperkasakan alam sekitar di peringkat tempatan mahupun global,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, agenda ‘Low Carbon Campus’ dilaksanakan KASA ini amat penting untuk setiap pengurusan tertinggi universiti mengambil perhatian untuk mencuba sebaik mungkin bekerjasama bersama kerajaan supaya penjagaan alam sekitar di negara ini menjadi salah satu agenda utama kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.
Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM sentiasa bersedia bersama-sama kerajaan dalam usaha memperjuangkan penjagaan alam sekitar di negara ini, dan kini usaha ini diperkasakan lagi dengan penglibatan langsung pihak KASA.
“Sememangnya USM sebelum ini sentiasa menitikberatkan isu-isu pembangunan dan penjagaan alam sekitar, atas sebab itulah kita mempunyai pelbagai perancangan pembangunan penyelidikan khas untuk kelestarian alam sekitar yang difikirkan sesuai diterapkan oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan memperkasakan kempen karbon rendah di negara ini,” jelasnya lagi.
Pada sesi pertemuan dan perbincangan itu juga USM berpeluang membentangkan beberapa kepakaran dan penyelidikan yang dijalankan USM di hadapan Timbalan Menteri mengenai perkara-perkara berkaitan isu alam sekitar.
Antara pembentangnya ialah Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd, Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) bertajuk ‘Sustainability@USM’; Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Pengarah Kampus Kejuruteraan dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) bertajuk ‘Rehabilitation of Tasik Harapan, USM Main Campus: Storm Water Drainage Master Plan Study for Sungai Gambir, Penang’; Profesor Dr. K. Sudesh Kumar a/l C. Kanapathi Pillai, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat bertajuk ‘Biodegradable Plastics - Where Are We Now?; Dr. Mohd Zulkifli Mustafa, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan bertajuk ‘Kelulunomic: Holistic Approach to Empower Ecology and Community’ dan Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) bertajuk Kajian Marin dan Lautan dalam menangani Perubahan Iklim.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Ir Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Timbalan Ketua Setiausaha Alam Sekitar KASA, Dr. K. Nagulendran dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) Tuan Shamsul Bahar.
Timbalan Menteri yang juga alumni USM dan mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM sidang akademik tahun 1995/1996 turut meluangkan masa melawat Desasiswa Harapan yang merupakan nostalgia tempat penginapan beliau sepanjang menuntut pengajiannya di USM, diiringi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1314