USM TAWAR UJIAN KUALITI MADU BANTU PENGUSAHA MADU TEMPATAN KOMERSIALKAN PRODUK
BERTAM, PULAU PINANG, 25 Jun 2020 – Secara umumnya kita mengetahui bahawa madu lebah mempunyai banyak khasiat dan sangat baik diamalkan sebagai makanan kesihatan.
Namun begitu, lambakan produk madu di pasaran menyebabkan pengguna tercari-cari dan sukar untuk mendapatkan madu yang betul-betul berkualiti dan tulen.
Manakala bagi pengusaha madu, mereka pula perlu membuktikannya secara saintifik bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk membeli produk mereka.
Nota: Gambar diambil semasa seminar yang diadakan pada awal tahun ini (sebelum PKP akibat wabak COVID-19).
Hal ini kerana ia perlu menjalani ujian-ujian tertentu yang bertujuan untuk mengetahui kandungan komponen utama yang terdiri daripada kandungan air, protein, karbohidrat dan pH yang terdapat dalam madu.
Menyedari tentang hal ini, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah dengan menawarkan ujian kualiti madu bagi membantu pengusaha-pengusaha madu tempatan mengkomersialkan produk mereka.
Melalui ujian yang dijalankan ia dapat membantu meningkatkan kualiti madu yang dihasilkan oleh para pengusaha dan sekaligus memberi keyakinan kepada pengguna bahawa madu yang diambil adalah berkualiti dan tulen.
Menurut Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Sulaiman, melalui kepakaran dan fasiliti makmal yang dimiliki IPPT buat masa ini, ia mampu untuk menawarkan ujian kualiti madu kerana makmal IPPT telah mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia di bawah Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 17025.
“Satu seminar telah diadakan pada awal tahun melibatkan pengusaha-pengusaha madu tempatan yang bertujuan untuk memberi pemahaman tentang kepentingan penjagaan kualiti madu dan piawaian-piawaian tertentu yang mereka perlu penuhi untuk mengekalkan kualiti madu,” katanya.
Tambah beliau, apabila madu yang dihasilkan adalah berkualiti dan dibuktikan pula secara saintifik ia dapat meningkatkan permintaan bukan sahaja dalam negara bahkan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa serta menjana pendapatan para pengusaha.
Justeru, Syed Azhar berharap lebih ramai pengusaha madu akan tampil untuk membuat ujian kualiti dan lama-kelamaan budaya pembuktian saintifik seperti ini dapat dipupuk dalam masyarakat supaya tidak hanya mendakwa itu dan ini tetapi sebaliknya mengemukakan fakta yang relevan,‘’ katanya.
Nota: Gambar diambil semasa seminar yang diadakan pada awal tahun ini (sebelum PKP akibat wabak COVID-19).
Bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar dan ujian kualiti madu bolehlah menghubungi IPPT USM di talian 04-562 2310 atau 04-562 2525.
Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid
- Created on .
- Hits: 914