USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASJID AL-MALIK KHALID USM MULA LAKSANA SOLAT JUMAAT 40 ORANG MENGIKUT SOP YANG DITETAPKAN

PULAU PINANG, 12 Jun 2020 – Masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM) mula melaksanakan solat Jumaat berjemaah dengan kapasiti 40 orang hari ini.

Ini berikutan keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk menambah bilangan jemaah bagi solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Negeri Pulau Pinang sehingga 40 orang bermula 12 Jun 2020, seperti yang diumumkan oleh Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Hj. Wan Salim Wan Mohd Noor, yang juga ahli Lembaga Gabenor USM.

WhatsApp_Image_2020-06-12_at_16.20.49_4.jpeg

Namun disebabkan bilangan yang terhad ini, pihak Pusat Islam USM telah menetapkan bahawa selain pegawai masjid, kehadiran jemaah adalah berdasarkan jemputan awal melalui mekanisme tertentu mengambil kira konsensus pihak pengurusan tertinggi USM dan AJK Qaryah.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Mohammad Shukri Osman, walaupun bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun yang lalu, solat Jumaat di Masjid Al-Malik Khalid USM masih belum mendapat arahan untuk dibuka secara umum kepada warga USM dan warga qaryah.

Jumaat.jpg

Mengulas lanjut, dia berkata, kehadiran jemaah yang dijemput pula adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan USM yang dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Antara SOP yang dimaksudkan yang perlu dipatuhi oleh para jemaah termasuk mencatat nama dalam buku rekod/logbook atau secara online dengan menskan kod QR yang disediakan di kaunter khas di pintu masuk masjid, mengambil wuduk di rumah, dan membawa sejadah sendiri.

“Mereka juga perlu diperiksa suhu badan, menggunakan persanitasi tangan, melakukan penjarakan sosial 1 meter dan segera meninggalkan masjid selepas selesai solat/dilarang berkumpul di sekitar luar masjid selepas solat," katanya.

Jemaah yang dibenarkan ialah mereka yang berumur antara 15-70 tahun, saringan suhu badan kurang daripada 37.5 C, dan tidak mengalami apa-apa gejala berkaitan COVID-19 seperti demam, batuk, selesema serta simptom masalah pernafasan.

Shukri berkata pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam pengamalan norma baharu perlu dititikberatkan oleh semua jemaah agar dapat menghindar daripada berlakunya risiko penyebaran COVID-19.

"Kita tahu ramai warga USM dan warga bukan USM yang tinggal berdekatan kampus yang ingin kembali bersolat di masjid dan pastinya kalau keadaan wabak COVID-19 semakin pulih, jumlah jemaah akan ditambah lagi dari semasa ke semasa.”

Katanya lagi, pihak Pusat Islam USM amat berbesar hati kerana yang turut hadir untuk bersolat Jumaat hari ini ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM yang baharu dilantik, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin, yang kebetulan mengadakan lawatan kerja pertama beliau ke kampus induk USM, selain Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Timbalan-timbalan Naib Canselor, ketua-ketua jabatan, ahli jawatankuasa masjid serta ahli qaryah terpilih.

WhatsApp_Image_2020-06-12_at_16.20.49_3.jpeg

Sementara itu, buat masa ini, solat fardhu berjemaah lima waktu di Masjid al-Malik Khalid adalah terbuka kepada 15 orang jemaah sahaja, dan mereka terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1163

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024