USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI USM DILANTIK SEBAGAI YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA KE-7

PULAU PINANG, 13 Jun 2020 – Ramai dalam kalangan alumni Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah mengecapi pelbagai kejayaan yang amat membanggakan sekaligus menempa nama di dalam negara dan di persada dunia sejak kohort pertama alumni USM bergraduasi pada tahun 1972.

Yang terkini, ialah pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 berkuatkuasa 4 Jun 2020 sehingga tempoh empat tahun.

Ali_1.jpg

Mohd Ali ialah pemegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) USM yang digenggamnya pada tahun 1984.

Seluruh warga USM menzahirkan rasa bangga terhadap pelantikan tersebut, dan mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Ali, yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Semoga negeri Melaka dan rakyat negeri Melaka akan terus maju dan makmur di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun.

Juga, semoga pelantikan beliau itu menjadi penyuntik semangat kepada pelajar dan alumni USM untuk menjejaki langkah beliau sebagai seorang tokoh yang berwibawa dan cemerlang.

Mohd Ali, 70, yang juga anak jati Bukit Katil, Melaka pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka dari tahun 1999 hingga 2013.

Untuk rekod, USM setakat ini mempunyai seramai 179,599 alumni di seluruh pelusuk dunia.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 1054

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024