USM BANTU BANGUNKAN UNIVERSITI PERUBATAN DI JORDAN
PULAU PINANG, 16 Jun 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang terpilih untuk membantu membangunkan sebuah universiti perubatan swasta di Jordan, yang dijangka akan menawarkan program perubatan antarabangsa.
Pelantikan USM sebagai universiti rakan kongsi untuk membangunkan Jordan Modern Medical University (JMMU) dibuat melalui perjanjian kolaborasi penuh yang dimeterai bersama The Group of Arab International Company PLC, sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan pendidikan tinggi, perubatan dan hartanah di Jordan.
Dengan perancangan lokasinya di Amman, Jordan, JMMU dijangka menawarkan program perubatan dan pergigian kepada lebih 200 pelajar, dengan pengambilan pelajar kohort pertama dijangka pada bulan September 2021.
Melalui kolaborasi tersebut, USM akan menyedia, mengkaji semula dan meluluskan kurikulum yang relevan untuk digunakan serta terlibat secara langsung dalam pengajaran kursus klinikal, dan pada masa yang sama menyalurkan kepakaran bagi sokongan pendidikan, pembangunan fakulti, perkhidmatan profesional, dan pembangunan staf di sepanjang tempoh kolaborasi iaitu enam tahun.
Selain itu, USM juga akan membantu dalam penubuhan hospital pengajaran JMMU dan aktiviti penjenamaan yang berkaitan dengan pengambilan, akreditasi dan dokumentasi transkrip.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pelantikan itu, yang kini berada di peringkat penilaian akhir oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan, adalah bukti kepercayaan komuniti pakar antarabangsa terhadap jenama USM dan ianya juga sebahagian daripada pelan pengembangan USM.
"Selepas pandemik COVID-19, kita melihat dunia dari pandangan yang berbeza dan USM menyedari perlunya berkongsi kepakaran kita dalam pengertian yang lebih luas, khususnya dalam bidang perubatan dan pergigian. Ini juga membuktikan bahawa USM menyediakan pendidikan berkualiti yang sering mendapat perhatian dan permintaan daripada institusi atau organisasi pendidikan antarabangsa," katanya.
Dokumen perjanjian ditandatangani oleh Naib Canselor bagi pihak USM manakala Dr. Haitham Abdullah Abu Khadija, Naib Pengerusi lembaga The Group of Arab International Company PLC menandatangani dokumen bagi pihak JMMU di Jordan baru-baru ini, dengan kehadiran wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 914