ANUGERAH KELESTARIAN USM ‘BEST IN COMMUNICATING SUSTAINABILITY’: SERLAHKAN AMALAN KONSEP KELESTARIAN
PULAU PINANG, Mac 2013 – Satu pertandingan penggambaran video yang mengkomunikasikan kelestarian telah dianjurkan bersama oleh Malaysian Association of Creativity & Innovation (MACRI) dan ADWAVE 2013, Projek Tahun Akhir Pelajar Komunikasi Pemujukan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kategori baru ini yang merupakan sebahagian daripada Projek LINKAGES telah dilancarkan oleh Professor Madya Dr Jamilah Hj Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM semasa Forum Creative Storytelling Projek LINKAGES baru-baru ini di Kompleks Cahaya Siswa, USM Pulau Pinang.
Menurut Jamilah, objektif kategori baru ini adalah untuk memelihara kearifan tradisional dari nenek moyang yang berkaitan kesihatan dan kesejahteraan di samping mengaitkannya dengan elemen kelestarian.
“Ia juga bertujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kepentingan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian bukan hanya pada masa kini tetapi juga untuk masa depan dan juga menggalakkan mereka untuk mengaplikasikan amalan kelestarian.
Pembangunan kelestarian adalah pembangunan yang memenuhi keperluan sekarang tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Persoalan besar pada masa kini ialah sama ada kita boleh membangunkan kearifan dan penyelesaian secara praktikal sebelum manusia memusnahkan keadaan kehidupan di atas muka bumi ini,” kata Jamilah.
Sementara itu, pengurus Projek LINKAGES, Encik Ramesh Pillai berkata, "Projek LINKAGES mengalu-alukan semua orang yang berminat untuk meneroka idea-idea, tips, pengetahuan atau kemahiran tentang kisah peribadi penjagaan kesihatan generasi lama dan berkongsi kisah tersebut melalui video pendek dalam cara yang paling kreatif.
“Pertandingan ini boleh memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menghargai kearifan dan amalan konsep kelestarian dalam kehidupan seharian mereka dengan menggunakan kreativiti dan idea-idea inovatif mereka,” katanya.
Forum awam ini adalah satu inisiatif perkongsian strategik di antara Universiti Sains Malaysia, MACRI, CGSS USM, SCOMM USM dan Pusat Pengajian Komunikasi USM dalam mempromosikan kategori baru ini iaitu Anugerah Kelestarian USM ‘Best in Communicating Sustainability’.
Dalam kategori Anugerah Kelestarian USM ‘Best in Communicating Sustainability’, peserta boleh menghasilkan video yang mengandungi dua atau lebih elemen kelestarian iaitu dalam aspek ekonomi, sosial, dan alam sekitar dan mengaitkan elemen tersebut dengan 'Kesihatan dan Kesejahteraan'.
Pertandingan ini adalah satu platform yang baik untuk belia menyampaikan kreativiti mereka dengan menghantar penyertaan untuk 'Cabaran Video 2 Minit' bagi kategori Anugerah Kelestarian USM ‘Best in Communicating Sustainability’.
Pertandingan ini terbuka pada peringkat kebangsaan. Semua peserta yang berumur 15 tahun dan ke atas dialu-alukan untuk menghantar penceritaan kreatif mereka melalui pertandingan pengambaran video ini dan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik. Tarikh tutup adalah pada 30 April 2013.
Turut hadir dalam forum ini ialah Gary Chong, pembikin filem yang juga ALUMNI USM dan Ramesh Pillai, pengurus Projek LINKAGES.
Pemenang hadiah utama bagi kategori ini akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000. Selain itu, peserta juga akan memenangi hadiah mingguan dan setiap dua minggu yang akan diumumkan oleh penganjur dari semasa ke semasa. Peluang ini pasti tidak akan dilepaskan oleh semua orang.
Untuk pertanyaan dan maklumat, sila hubungi May Fam Pengurus Perhubungan Media ADWAVE 2013 di 012-9137 983 atau Siti Zaleha, Eksekutif Perhubungan Media di 017-4937 457 atau email mereka di
- Created on .
- Hits: 3208