USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PADU SUMBANG ALATAN SOKONGAN PERNAFASAN (COVID-19) KEPADA HOSPITAL YANG MEMERLUKAN

PULAU PINANG, 9 Jun 2020 – Perjuangan menentang pandemik COVID-19 masih belum berakhir dan berbekalkan semangat itu, Persatuan Alumni Doktor (PADU) Universiti Sains Malaysia (USM) menyampaikan sumbangan Nasal High Flow System kepada Hospital USM dan beberapa hospital lain termasuk Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh melalui wakil PADU di sana.

Sumbangan berkenaan adalah hasil daripada Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan: (COVID-19) PADU yang telah bermula sejak 23 Mac 2020 lalu.

WhatsApp_Image_2020-06-11_at_06.39.25.jpeg

Projek ini bertujuan untuk membantu hospital-hospital yang memerlukan alatan sokongan pernafasan untuk merawat pesakit COVID-19 dan pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI).

Projek ini telah mendapat sambutan yang baik dan sehingga kini hasil dana terkumpul hampir RM90,000.

Melalui sumbangan tersebut, terdahulu PADU telah berjaya membeli 11 set helmet Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan 5 helmet Bilevel Positive Airway Pressure (BiPAP) dan telah diagihkan kepada enam buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Umum Sarawak dan juga Hospital USM.

Selain itu, sebagai mengenang jasa barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19, PADU telah berkerjasama  dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) untuk pengagihan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh Malaysia melalui wakil-wakil PADU di setiap hospital.

PADU juga turut mengagihkan perisai muka kepada frontliner kesihatan dan staf makmal Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tumpat dan Hospital USM.

Presiden PADU, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, kos anggaran sebenar bagi projek ini adalah RM38­0,000 dengan mengambil kira hasrat PADU untuk memenuhi permintaan semua hospital yang memerlukan.

WhatsApp_Image_2020-06-11_at_06.39.25_1.jpeg

“Namun buat masa ini kutipan hanya berjaya mencecah RM90,000 dan kami hanya mampu membekalkan alatan ini kepada beberapa buah hospital tertentu sahaja.

Walau bagaimanapun, kami masih dihubungi oleh hospital-hospital lain yang begitu berhasrat untuk mendapatkan peralatan sokongan pernafasan yang sangat diperlukan ini.

“Justeru, kami masih memerlukan dana sebanyak RM290,000 untuk memenuhi keperluan permintaan dari seluruh hospital di Malaysia melalui wakil PADU,” ujar beliau ketika majlis sumbangan peralatan berkenaan yang diterima oleh Ketua Jabatan Anestesiologi, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Nazaruddin Wan Hassan di Hospital USM baru-baru ini.

Setiausaha PADU, Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman turut berkongsi rasa syukur dan gembira beliau kerana segala usaha keras pasukannya dalam projek dana ini seakan terbalas apabila melihat kegembiraan yang terukir di wajah para doktor yang teruja ketika menerima alatan untuk rawatan pesakit.

Katanya, para doktor sentiasa ingin memberikan kaedah rawatan yang terbaik, dengan menggunakan alatan yang mereka rasakan paling sesuai dengan keadaan pesakit mereka.

“Memandangkan Nasal High Flow System ini menjadi idaman para perawat barisan hadapan, adalah menjadi harapan kami untuk membekalkannya kepada setiap hospital,” ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu, PADU turut berterima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan untuk merealisasikan hasrat perawat barisan hadapan dan pesakit yang memerlukan sokongan pernafasan.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan CPAP COVID-19.

Teks dan Foto: Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah & Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 990

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024