USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AWANG ADEK HUSSIN DILANTIK PENGERUSI LEMBAGA GABENOR USM YANG BAHARU

PULAU PINANG, 8 Jun 2020 – Mantan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (2014-2016), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 8 Jun 2020 hingga 7 Jun 2023.

WhatsApp_Image_2020-06-07_at_14.37.25.jpeg

Pelantikan Awang Adek, 64, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu diumumkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi melalui satu surat rasmi kepada USM, menggantikan penyandang terdahulu, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran.

Beliau yang pernah berkhidmat di USM di awal kariernya (1983-1985) meraih ijazah pertamanya di Drew University, New Jersey, Amerika Syarikat dan bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah di Wharton School, University of Pennsylvania Philadelphia.

Awang Adek mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan korporat dan pernah dilantik sebagai Penolong Gabenor Bank Negara dari 1996 sehingga 2001.

Beliau turut menyandang jawatan sebagai sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2004 hingga 2006. Beliau turut dilantik sebagai Senator Dewan Negara dari 2009 hingga 2013.

Selain itu, Awang Adek juga pernah menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain dipinjamkan ke Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan sebagai Ketua Pengarah yang pertama selama dua tahun bermula pada tahun 1996.

USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan berkenaan dan menzahirkan komitmen untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam merealisasikan visi Universiti ke arah mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok.

Pihak Universiti turut menzahirkan kepercayaan terhadap kepimpinan dan pengalaman luas yang ada pada beliau akan meneruskan usaha memacu pencapaian dan kecemerlangan USM ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Infografik: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 4057

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024