DILANTIK MENJADI DEKAN, BAHARI BELATON IKON KECEMERLANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI

PULAU PINANG, 2 Jun 2020 – Profesor Dr. Bahari Belaton, nama yang bukan asing di Universiti Sains Malaysia (USM) kerana keunikan beliau menyerlahkan kecemerlangan walaupun berasal dari masyarakat minoriti orang asli, kini dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM berkuatkuasa pada 2 Jun 2020.

WhatsApp_Image_2020-06-02_at_18.07.27.jpeg

Pada masa yang sama, beliau turut dilantik sebagai Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6), menggantikan Profesor Dr. Rosni Abdullah @ Mustafa yang bersara wajib bagi kedua-dua jawatan tersebut.

Dengan kedua-dua pelantikan itu juga, Bahari dipercayai merupakan Orang Asli yang pertama dilantik menjadi Dekan di sesebuah institusi pengajian tinggi dalam sejarah negara, dan juga Orang Asli yang pertama memegang dua jawatan ketua jabatan secara serentak di institusi pengajian tinggi negara.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang Scientific Data Visualisation, Computer Graphics dan Network Security telah berkhidmat lebih daripada 24 tahun bersama-sama USM dan sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan beliau khususnya dalam pembangunan akademik dan penyelidikan telah dizahirkannya.

Bahari yang berasal dari suku kaum Semai dari Kampung Orang Asli Tangkai Cermin, Perak, berpengalaman luas dan telah mengembara ke luar negara menuntut ilmu, mendapat ijazah pertamanya dalam bidang Sains Komputer di South Australian Institute of Technology, Australia (1989).

Disebabkan keperluan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki individu yang ingin bekerja dengan di sektor kerajaan memiliki ijazah kepujian (Honours), beliau kemudiannya menyambung pengajian selama setahun lagi di Flinders University, Australia (1991) untuk mendapatkan kepujian sebelum meraih ijazah doktor falsafah (Ph.D) di Leeds University, U.K. (1995).

Hidup Susah Semasa Kecil

Bunyinya seakan mudah namun siapa tahu, cabaran dan pengorbanan yang dilakukan oleh anak kedua bongsu dari tujuh adik-beradik ini bukan calang-calang sukarnya. 

Bahari kehilangan ayah pada usia yang muda iaitu ketika berumur sembilan tahun. Kehidupannya selepas itu nyata lebih memeritkan kerana bergantung harap kepada ibunya yang bekerja keras untuk memastikan kelangsungan hidup mereka. 

“Sekitar tahun 60-an dahulu, keadaan ketika itu bukan seperti hari ini. Ditambah pula tinggal di perkampungan orang asli yang jaraknya lebih kurang 20 kilometer jauhnya dari pekan terdekat iaitu Tanjung Tualang, segalanya serba kurang. 

“Malah saya hanya diberitahu oleh mendiang emak bahawa kesemua adik-beradik selain saya dan kakak sulung meninggal tanpa diketahui sebabnya – kemungkinan disebabkan penyakit yang tidak diketahui.

“Di kampung kami tiada bekalan elektrik, mujurlah bekalan air bersih diperoleh dengan menumpang tuah kejiranan pekerja-pekerja perlombongan bijih timah yang kebetulan hanya di sebelah kampung. Itu pun tiga batang paip utama dikongsi dengan seluruh kampung. 

“Namun itu semua bukan penghalang untuk saya meneroka ilmu,” ujarnya sambil memberitahu satu-satunya kakak beliau yang masih ada sehingga kini turut berjaya mengubah hidup dan menjadi antara jururawat perintis yang berkhidmat di hospital khas untuk orang asli di Gombak, Selangor dan kini telah pun bersara.

Paling menarik mengenai beliau, Bahari sejak kecil sememangnya dikurniakan dengan perasaan atau sifat ingin tahu yang cukup tinggi. Hal itu adalah antara titik-tolak kepada kejayaannya yang mana beliau sering memerhati perkara di sekeliling dan otaknya sentiasa ligat mengajukan soalan-soalan untuk mendapatkan jawapan.

Tambah beliau, ketika membesar khususnya di alam persekolahan, kebetulan penempatan beliau pada ketika itu terletak di sebelah kawasan perumahan yang menempatkan jurutera-jurutera (termasuk warga asing) yang bertugas dengan syarikat bijih timah, Malaysian Mining Corporation (MMC). 

“Setiap hari, saya akan mengambil peluang untuk membantu dan mengikut penjual ikan dan sayur-sayuran (yang juga pemandu bas sekolah yang membawa saya dan rakan-rakan pergi ke sekolah), seorang berbangsa Cina. 

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, iaitu keinginan saya untuk melihat suasana rumah banglo jurutera-jurutera ini, selain membantu "apek" ini menjual ikan dan sayur,” katanya. 

Beliau turut menegaskan, kejayaannya juga banyak dipengaruhi oleh rasa cemburu melihat kejayaan orang lain. 

Bukan Penghalang Untuk Menuntut Ilmu

Bagi Bahari yang dibesarkan oleh ibu tunggal yang buta huruf, pendidikan bukanlah satu keutamaan. Apa yang penting pada masa itu adalah mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Macam-macam kerja dilakukan termasuk mencari hasil hutan, mengambil upah dengan pengusaha tanaman kontan seperti sayur-sayuran dan pelbagai lagi. 

Pun begitu, beliau tetap berbangga dengan ibunya kerana walaupun serba kekurangan, insan penting dalam hidupnya itu sentiasa menyokong penuh minat beliau dalam menimba ilmu dan sentiasa menyediakan segala yang mampu untuk memenuhi keperluan beliau termasuk pakaian sekolah, kasut, wang saku dan sebagainya. 

Justeru, ketika di alam persekolahan menengah khususnya, permerhatian kepada kisah-kisah kejayaan dalam kalangan masyarakat lain membuatkan beliau begitu teruja untuk menjadi seperti mereka yang berjaya satu hari kelak. 

Bahari turut mengakui, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) turut memainkan peranan penting sepanjang perjalanan hidupnya dan kanak-kanak orang asli yang lain dengan menyalurkan pelbagai sumbangan dan sokongan.

Beliau yang menggemari subjek matematik ketika di bangku sekolah berkata, sejak kecil minatnya dalam pelajaran adalah amat tinggi dan beliau akan berasa seronok ketika mempelajari atau menyiapkan sesuatu kerja. Tambah beliau, semua kerja rumah dan latihan yang diberikan oleh para gurunya dapat disiapkan dengan baik tanpa sebarang paksaan.

“Faktor luaran juga sangat membantu motivasi individu dari golongan minoriti seperti saya yang mana persekitaran di rumah sangat kurang dalam membantu serta menyokong pembelajaran formal. 

“Antaranya, pengiktirafan dan sokongan yang diberikan oleh cikgu serta komuniti di sekolah, contohnya dalam kes saya, cikgu memberi peluang dan kepercayaan untuk melantik saya sebagai ketua darjah, pengawas dan sebagainya. 

“Pandangan jujur saya, walaupun perkara sebegini nampak kecil atau kurang relevan pada pandangan umum, tetapi bagi golongan minoriti atau terkebawah, sokongan seperti ini sangat besar maknanya, these are game changers for my life!,” ujar beliau ketika berkongsi antara tips kejayaan beliau sehingga ke tahap sekarang.

Tidak Melupakan Asal Usul

Tidak melupakan dari mana asal usul beliau, Bahari turut berkongsi pandangan dan nasihat kepada golongan minoriti sepertinya untuk sama-sama mengecapi kejayaan. 

Beliau berkata, pokok pangkalnya, mereka di luar sana perlu tabah (persevere) kerana cabaran yang golongan ini hadapi dalam apa juga bidang atau tahap adalah dua kali ganda daripada cabaran yang dihadapi oleh masyarakat perdana. 

Bagi orang asli khususnya, cabaran penyesuaian diri, kebersamaan dominasi (lain dari yang lain) dan sebagainya adalah antara isu tersirat yang perlu ditangani "serentak" dengan cabaran lain yang dihadapi oleh masyarakat umum.

“Masyarakat orang asli juga perlu hidup bertoleransi dan rendah diri serta sentiasa perlu berkawan dengan seramai mungkin rakan dari masyarakat perdana.  

Yang selebihnya nasihat yang sama seperti kebanyakan nasihat penting mengejar kejayaan termasuk kerja kuat, tekun dalam bekerja serta sentiasa memberikan hanya yang terbaik,” ujar beliau lanjut.

Beliau yang memulakan kariernya di USM pada November 1995 menjadikan ‘sifu’ beliau, Profesor Dr. Zaharin Yussof (mantan dekan Pusat Pengajian Sains Komputer) sebagai ikon yang diseganinya. 

Beliau turut menyifatkan Zaharin ialah seorang individu yang begitu unik, "always sharp" dalam pemikiran dan tindakannya dan yang paling penting, beliau "menjaga" anak buahnya dengan begitu baik sekali. 

“I wish I could emulate these excellence leadership's qualities,” itulah harapannya untuk menjadi pemimpin yang diteladani. 

Katanya lagi, jika saya muhasabah diri sekarang dan renung kembali, saya dapat simpulkan apa yang saya "cemburukan" di alam persekolahan telah saya capai, iaitu ingin menjadi individu yang berjaya dalam bidang yang diceburi. 

“Matlamat hidup saya adalah ingin berbakti, memberi khidmat, mencurah tenaga kepada USM, pelajar-pelajar saya, komuniti saya dan keluarga saya,” katanya.  

Memetik ungkapan Naib Canselor USM, Bahari bersyukur kerana telah berjaya keluar dari kongkongan B40 dan sekarang akan cuba memberi khidmat yang terbaik untuk membantu golongan B40 keluar dari kitaran yang sama juga.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Dr. Mohd Asyiek Mat Desa (Pusat Pengajian Seni)/Ebrahim Abdul Manan

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015