HyBIRT: USM TEMUI TEKNIK TERBAHARU SEMBUH KANSER LIDAH
BERTAM, PULAU PINANG, 29 Mei 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam inovasi sains dan teknologi apabila berjaya mencipta teknik terbaharu merawat kanser lidah, iaitu HyBIRT yang berupaya menyembuh tanpa memerlukan pembedahan atau pemotongan bahagian yang dijangkiti.
HyBIRT atau ‘Hybrid Barchytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy’ ciptaan sekumpulan pakar multi-disiplin kanser dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM merupakan teknik modifikasi yang dilakukan terhadap dua kaedah rawatan kanser lidah sedia ada iaitu External Radiotherapy (IMRT) dan Brachytherapy.
Dr. Gokula Kumar A/L Appalanaido, Dr. Muhamad Yusri Musa dan Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz merupakan perintis kepada penemuan teknik rawatan ini telah berjaya menyembuhkan dua pesakit pertama menghidap kanser lidah yang menjalani teknik rawatan HyBIRT selama 6 bulan dengan fungsi lidah hampir kembali pulih sepenuhnya seperti sediakala (melalui pemeriksaan Magnectic Resonance Imaging, MRI).
Pengarah IPPT USM, Prof. Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, kaedah ini ditawarkan sebagai alternatif buat pesakit yang tidak mahu dibedah atau tidak sesuai dibedah atas pelbagai faktor perubatan dan ia berpotensi memberi pilihan yang lebih baik buat pesakit berbanding kaedah radioterapi sedia ada.
“Teknik ini merupakan satu-satunya ciptaan terbaharu USM dan tinjauan telah dilakukan menunjukkan bahawa teknik rawatan sedemikian masih belum diguna oleh mana-mana pusat perubatan di dunia seperti apa yang ditemui oleh USM,” katanya.
Menurutnya, berbanding dengan teknik rawatan kanser lidah yang lazim diamalkan sekarang, HyBIRT didapati lebih berkesan kerana mampu menyembuh sepenuhnya organ lidah, dan fungsi lidah itu sendiri hampir kembali seperti keadaan sediakala.
“Ini kerana rawatan sedia ada yang diamalkan memerlukan sebahagian atau keseluruhan lidah dipotong bagi mengelakkan penularan kanser terbabit dan ini menyebabkan pesakit menarik diri daripada meneruskan rawatan kerana enggan dibedah seterusnya memudaratkan lagi kesihatan pesakit.
“Jadi, HyBIRT memberi satu alternatif buat pesakit yang membolehkan kanser tersebut dirawat dengan kesan morbiditi yang lebih baik,” jelas beliau lagi.
Tambah Syed Azhar lagi, penyelidikan rawatan ini telah dijalankan selama 2 tahun oleh para penyelidik terbabit dan mula diimplimentasi di IPPT pada tahun 2017.
“Sehingga tahun ini IPPT telah menerima sejumlah 10 orang pesakit kanser lidah yang sedang dirawat menggunakan rawatan kebiasaan iaitu Brachytherapy dan ini merupakan permulaan yang baik buat USM bagi memperluaskan teknik rawatan HyBIRT di negara ini agar potensi kesembuhan pesakit kanser lidah dapat ditingkatkan pada masa akan datang,” jelas beliau lagi.
Walau bagaimanapun Syed Azhar berkata, bukan semua kanser lidah sesuai dirawat dengan teknik HyBIRT dan pesakit perlu berjumpa dengan doktor pakar terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan menggunakan rawatan tersebut.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan rawatan ini, sila hubungi di talian: +604-5622203/2201 atau h/p: +60111-6278810 atau e-mel:
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: IPPT
- Created on .
- Hits: 2348