USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WASPADA ANCAMAN SERANGAN SIBER SEMASA PANDEMIK COVID-19

USM PULAU PINANG, 23 Mei 2020 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 18 Mac 2020 sebagai langkah membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda sepelusuk dunia, memperlihatkan Universiti Sains Malaysia (USM) mengimplementasikan sepenuhnya pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar dan bekerja dari rumah (WFH) untuk stafnya.

hacker-2300772_960_720.jpg

Selaras dengan ini juga, penggunaan sidang video (video conferencing) telah menjadi pilihan utama, mudah dan cepat bagi tujuan perbincangan dalam talian dan komunikasi antara staf dan pelajar.

Bagaimanapun, kesempatan ini juga telah digunakan oleh penjenayah siber dalam meningkatkan lagi serangan kepada pengguna di alam siber melalui pelbagai kaedah.

Malah, perkara ini turut diutarakan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, dalam kenyataan yang diedarkannya kepada agensi-agensi kerajaan pada awal April 2020 bertujuan memaklumkan dan memberi peringatan (alert) tentang ancaman serangan siber.

Memetik kenyataan tersebut, dilaporkan pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), MKN telah mengesan peningkatan serangan siber oleh penggodam ke atas agensi kerajaan dan rakyat Malaysia di sepanjang tempoh PKP.

Jenis-jenis serangan yang telah dikesan merangkumi serangan Advanced Persistent Threat (APT) dan pencerobohan laman sesawang Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta. Selain itu, terdapat insiden lain seperti pencerobohan terhadap pelayan/server agensi kerajaan, penipuan dalam talian, email spam, aplikasi mudah alih palsu, mencuri dengar perbualan pengguna yang menggunakan aplikasi sidang video web Zoom, dan sebagainya.

Di peringkat USM, warga kampus selaku pengguna turut dinasihati mengambil perhatian serius terhadap isu berkaitan dengan keselamatan siber.

Unit Keselamatan ICT, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM, dalam hebahannya kepada warga kampus, mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh pengguna untuk kekal selamat di alam siber, seperti berikut:

  • Pastikan sistem pengoperasian (Windows, Mac OS, Android, dll) dan aplikasi-aplikasi yang digunakan ditampal dengan tampalan (patches) terkini.
  • Pastikan komputer dipasang dengan perisian anti-virus dan dikemasini setiap masa.
  • Hanya terima jemputan dari saluran sidang video atau grup platform mesej (WhatsApp, Telegram, Wechat, dll) yang diketahui.
  • Elak dari membuka kepilan atau pautan pada emel yang diterima dari individu yang tidak dikenali atau dalam keadaan yang mencurigakan.
  • Elak dari melayari laman-laman yang mempunyai risiko keselamatan siber yang tinggi seperti laman-laman cetak rompak, pornografi dan perjudian/pemainan atas talian.
  • Elak dari memuat turun dan memasang perisian percuma dari sumber yang tidak dapat disahkan atau perisian cetak rompak.
  • Elak dari menggunakan kata laluan yang sama seperti kata laluan yang digunakan untuk servis USM (CampusOnline, Emel rasmi) pada platform lain.

Di bawah ini ialah beberapa berita berkaitan keselamatan siber semasa pandemik Covid-19:

Fikir dahulu sebelum klik. Kekal selamat di alam siber.

Teks: Adapatasi dari hebahan PPKT kepada warga kampus melalui pentadbir emel, bertajuk “Peningkatan Serangan Siber Semasa Pandemik Covid-19”/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1244

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024