USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EKONOMI UNIVERSITI TURUT TERKESAN AKIBAT PANDEMIK COVID-19

Kesan dari pandemik COVID-19 bukan sahaja mengancam nyawa tetapi mengakibatkan kesan yang buruk terhadap ekonomi dunia.

Kesan ekonomi ini dapat dilihat secara langsung kepada sektor seperti pengangkutan, pelancongan, pembuatan, sekaligus kepada rantaian bekalan dunia.

Sektor kecil dan sederhana juga perlu diberi perhatian akibat kesan langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudiannya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sudah berlangsung lebih dari dua bulan.

Berdasarkan World Trade Organisation, ekonomi dunia akan mengalami sepertiga penguncupan bagi tahun ini.

Kesan pandemik ini diburukkan lagi oleh keadaan penurunan harga minyak dunia, sekaligus memberi kesan kepada pendapatan negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.

Bagi tujuan memahami kesan pandemik ke atas ekonomi universiti, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan analisis akibat COVID-19 terhadap keadaan kewangan Universiti dan hasilnya membimbangkan.

Profesor_Dr_Azlan_Amran.jpg

Tiga senario kesan pandemik terhadap kewangan Universiti dibangunkan dengan mengambil kira empat faktor iaitu vaksin, pengerakan komuniti dunia, kadar pulih ekonomi dan tahap pengangguran.

Senario akibat COVID-19 bermula daripada skala ringan, sederhana dan keterlaluan, menunjukkan kesan penurunan yang ketara ke atas kutipan yuran Universiti yang juga merupakan punca utama pendapatan Universiti awam, selain geran tahunan kerajaan.

Selain itu, kesan kepada kebolehpasaran graduan dan penempatan latihan juga akan timbul kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terjejas.

Dalam konteks USM sebagai contoh, lebih 50% pelajar menjalankan latihan industri di PKS.

Faktor unik kesan kemelesetan ekonomi pada kali ini adalah sekatan pergerakan yang bukan sahaja mengehadkan pergerakan masyarakat di dalam negara tetapi juga luar negara.

Sekatan pergerakan ini yang juga sedang dipraktiskan oleh negara luar secara langsung mengehadkan kemasukan pelajar luar ke Malaysia.

Faktor ini mempunyai kesan langsung kerana selama ini pelajar luar negara antara penyumbang besar kepada yuran pengajian di Universiti tempatan.

Kesan psikologi terhadap pandemik ini juga telah menyebabkan perasaan ketidakpastian terhadap kadar pulih ekonomi dan impak keseluruhannya.

Masyarakat mengambil langkah tunggu dan lihat termasuk dalam membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran.

Tambah merumitkan keadaan apabila prosedur normal baru yang menggalakkan Universiti mengamalkan pembelajaran dalam talian sehingga akhir tahun ini bagi mengelak risiko jangkitan.

Biar apa pun langkah yang diperkenalkan, keyakinan masyarakat akan mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala, setidak-tidaknya sehingga vaksin untuk virus ini ditemui.

Kadar pengangguran pula dijangka meningkat sehingga empat peratus pada akhir tahun 2020 ini akibat kemelesetan ekonomi.

PKS yang selama ini menyediakan lebih kurang 20% pasaran kerja dijangka gulung tikar akibat COVID-19.

Ini juga menyumbang secara terus kepada kadar kebolehpasaran graduan yang bergraduasi dalam tempoh ini.

Kesan pengangguran ini jika tidak diatasi akan menimbulkan lebih banyak masalah bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga sosial.

Dijangkakan lebih ramai golongan B40 akan terkesan jika perkara ini tidak diberi perhatian serius.

Di dalam konteks ini, perhatian dan tindakan dari kerajaan amat penting bagi menukar masalah ini kepada peluang bagi mereka yang terkesan.

Kadar pengangguran ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kerajaan untuk menambah baik kemahiran serta pengetahuan graduan dalam meningkatkan kualiti modal insan apabila ekonomi negara pulih kelak.

Pihak kerajaan melalui agensinya dan pihak swasta boleh merancang untuk menyediakan pinjaman atau bantuan kewangan kepada mereka yang tiada sumber pendapatan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Bantuan atau pinjaman ini perlulah diperluaskan kepada pelbagai bidang. Perkara ini sebenarnya bersifat serampang dua mata, yang mana dari satu sudut membantu menyelesaikan masalah yang timbul akibat pengganguran.

Manakala dari sudut lain, ia secara tidak langsung dijangka membantu meningkatkan jumlah enrolmen pelajar di Universiti tempatan untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Suntikan dana kerajaan dalam bentuk ini akan membentuk pusingan kewangan yang akhirnya dapat membantu mengurangkan kadar kebergantungan Universiti Awam kepada geran tahunan kerajaan.

Penulis: Profesor Dr. Azlan Amran, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, USM

  • Created on .
  • Hits: 7297

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024