USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANGUNKAN GARIS PANDUAN OPERASI MAKMAL PASCA PKP COVID-19

USM PULAU PINANG, 23 Mei 2020 – Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (R&I) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Sejahtera USM telah membangunkan Garis Panduan Operasi Makmal Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.

Ini selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 17 Mei lalu bahawa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti Pengajian Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD) untuk memulakan aktiviti akademik dengan kadar segera.

Kebenaran itu membolehkan pelajar pasca-siswazah dalam kategori yang dimaksudkan itu untuk kembali ke kampus untuk menjalankan penyelidikan secara fizikal di makmal kerana memerlukan kemudahan dan peralatan khusus yang terdapat di situ.

Garis panduan tersebut perlu dipatuhi oleh setiap staf dan pelajar yang memasuki dan menggunakan makmal bagi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi dan terjamin.

Ia dibangunkan berdasarkan panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO).

Selain daripada penjarakan sosial di dalam makmal, satu lagi komponen utama garis panduan tersebut adalah setiap pengguna makmal hendaklah mengisi Borang Saringan Kesihatan Gejala COVID-19 Harian.

Pihak USM merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang sentiasa prihatin dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya atas kelulusan khas ini.

Di bawah ini ialah GARIS PANDUAN OPERASI MAKMAL PASCA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) COVID-19 dan juga BORANG SARINGAN KESIHATAN GEJALA COVID-19 HARIAN yang dimaksudkan itu untuk rujukan bersama.

Page1.jpg

page2.jpg

page3.jpg

Kedua-dua dokumen berkenaan dan butiran lanjut juga dapat dirujuk di laman web Bahagian Penyelidikan Dan Inovasi USM:  http://www.research.usm.my/default.asp?tag=42

  • Created on .
  • Hits: 1309

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024