USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU ANAK FELDA RAIH KEMAHIRAN

usmpisdec1

PULAU PINANG, 20 Mac 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polymer Industrial Skills and Development Center (PISDEC) menjalin usahasama dalam mewujudkan Kursus Pensijilan Polymer In Product Design 2013 untuk anak-anak FELDA.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, usahasama itu dimeterai melalui satu memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangan bersama USM dalam satu majlis khas di sini baru-baru ini.

Katanya, kerjasama seumpama itu dibuat bagi memberi peluang kedua kepada anak-anak FELDA yang kurang bernasib baik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan sekurang-kurangnya satu kemahiran untuk diri mereka.

``Ia penting untuk memastikan golongan yang tidak berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi ini beroleh kemahiran untuk memastikan mereka dapat berdaya saing dalam sektor pekerjaan.

``Ia turut memberi peluang kepada anak-anak FELDA generasi kedua menjana pendapatan dalam pelbagai lapangan kerjaya yang berkaitan dengan kemahiran,’’ ujar beliau selepas majlis pelancaran rasmi usahasama itu di sini baru-baru ini.

usmpisdec2

Tambah beliau, sehingga kini lebih dari 35,000 anak-anak FELDA telah mendapat manfaat daripada program tersebut yang telah diperkenalkan pada tahun 2005 dengan penglibatan lebih dari 80 institusi kemahiran dalam negara.

Mengulas kerjasama dengan USM, Isa berkata, ia adalah julung kali diadakan dan berharap lebih ramai anak-anak FELDA mengambil peluang untuk menyertai kursus yang ditawarkan di institusi terkemuka tersebut.

Dalam pada itu, beliau terdahulu telah menyampaikan sijil kepada kira-kira 150 pelajar PISDEC yang telah menamatkan kursus yang ditawarkan secara bersama dengan USM melalui Pusat Pengajian Seni (PPS) tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua PengarahFelda, Datuk Faizoull Ahmad, Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ See Ching Mey, TNC Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein dan Dekan PPS, Prof. Madya Mohamad Omar Bidin.

PISDEC pula diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mustafa Rizal Bakar. Teks: Marziana Mohamed Alias/ Teks: Mohd. Fairus Md. Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2517

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024