NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT HARI JURURAWAT SEDUNIA, ZAHIR PENGHARGAAN BUAT JURURAWAT USM
PULAU PINANG, 12 Mei 2020 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia buat semua jururawat yang berkhidmat di USM seterusnya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat para jururawat di atas pengorbanan mereka ketika negara sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19.
Beliau turut menyatakan bahawa jururawat merupakan barisan hadapan yang amat cekal dan tabah menghadapi situasi getir masa kini dan merupakan antara kumpulan paling berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan dan kematian.
“Saya mewakili seluruh warga USM mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia dan terima kasih buat 1,566 orang jururawat yang sedang berkhidmat bersama USM di kesemua kampusnya, dan saya percaya pengorbanan dan ketabahan mereka memberi pengalaman cukup berharga apatah lagi tahun ini melalui detik sukar berhadapan wabak COVID-19,” katanya.
Tambah Faisal Rafiq, barisan kepimpinan tertinggi universiti sentiasa menyokong dan memastikan kebajikan para jururawat USM sebagai barisan hadapan sentiasa terjamin, supaya mereka dapat terus memberi tumpuan untuk menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
Dalam pada itu, pihak Universiti turut memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar USM yang mengikuti rancangan pendidikan jarak jauh yang bekerja sebagai jururawat yang kini sedang menabur bakti di barisan hadapan di hospital kerajaan, swasta mahupun fasiliti perubatan yang lain, dan mengharapkan mereka akan terus memberi impak yang bermakna kepada masyarakat.
Hari Jururawat Sedunia disambut pada 12 Mei setiap tahun dan pada tahun ini, temanya adalah "Nurses: A Voice to Lead - Nursing The World To Health."
Selain itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, pengorbanan dan dedikasi semua jururawat terutamanya dalam menangani situasi sekarang adalah tidak ternilai dan amat dihargai oleh pihak universiti.
“Pihak jururawat dan pengurusan kesihatan di USM sehingga hari ini sedang bertungkus lumus menjalankan tugas tanpa mengira masa dan tenaga bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehingga situasi kini menguruskan saringan kesihatan melibatkan pelajar-pelajar USM yang dibenarkan pulang oleh pihak kerajaan,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat semua terlibat dan berharap jururawat dan petugas kesihatan USM di semua kampus terus cekal dan bersabar melaksanakan tugas, dan masa yang sama menjalankan ibadah puasa buat mereka yang beragama Islam di bulan Ramadhan ini.
Mengikut pecahan sehingga kini di USM terdapat 18 orang jururawat yang berkhidmat di Pusat Sejahtera Kampus Induk, 5 orang di Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan, 132 orang di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan tertinggi 1,411 orang di Hospital USM, Kampus Kesihatan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 944