USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR SIVAMURUGAN DILANTIK SEBAGAI AHLI PEMIKIR KPN

PULAU PINANG, 9 Mei 2020 – Ketokohan dan kehebatan Pensyarah Sosiologi Politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sivamurugan Pandian terserlah sekali lagi apabila dilantik sebagai Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mulai 29 April 2020.

WhatsApp_Image_2020-05-10_at_11.32.15.jpeg

Ketika ditemui, Profesor Sivamurugan yang lebih dikenali sebagai Prof. Siva, memaklumkan bahawa pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.  

Menurutnya lagi, beliau akan menjadi sebahagian daripada pasukan ahli pemikir yang diwujudkan khas bagi membantu KPN yang baharu ditubuhkan 10 Mac 2020 di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk menjana pemikiran dan idea dalam usaha mengukuhkan perpaduan nasional demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Mengulas pelantikannya itu, beliau menganggap ia sebagai pengiktirafan untuk dirinya untuk terus memberi sumbangan idea yang lebih bermakna untuk membantu pihak Kementerian menerajui usaha penyatuan nasional dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor USM dan Pengurusan Tinggi Universiti serta Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan yang sentiasa memberi sokongan dan ruang kepadanya untuk terus berkecimpung dalam bidang yang amat diminatinya itu.

Prof. Siva juga merupakan penganalisis politik tanah air yang tidak asing lagi yang sering muncul dalam rancangan bual bicara untuk memberi pandangan dan analisis bernasnya serta sering menyumbang makalah berkaitan dengan patriotisme dan kenegaraan dan juga isu semasa politik negara yang diterbitkan dalam akhbar arus perdana.

Beliau pernah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan sebelum ini, antaranya ialah menjadi salah seorang penerima tokoh kemerdekaan sempena sambutan Hari Malaysia pada 2009 dan Ikon Patriotik negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2016 oleh Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Prof. Siva atas pelantikan tersebut dan berdoa agar beliau akan terus memberi sumbangan terbaik dari segi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalamannya kepada universiti, negara dan bangsa Malaysia.

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 4263

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024